Anda di sini

Serunding Kubis, inovasi usaha UMS bantu komuniti

Advertisement
DR JURRY
DR JURRY

KOTA KINABALU: Inovasi yang diusahakan sekumpulan pakar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu komuniti tempatan menghasilkan Serunding Kubis mendapat pengiktirafan kebangsaan.

Ketua kumpulan penyelidik Dr Jurry Foo berkata, pihaknya telah diumumkan penerima anugerah pingat emas bagi projek Penyediaan dan Pemasaran Serunding Kubis, iaitu satu inisiatif membantu penduduk Ranau menghadapi isu lambakan sayur-sayuran pada Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 1.0.

“Pada ketika itu pergerakan terhad menyebabkan para petani menghadapi cabaran untuk memasarkan sayur-sayuran ke pasaran luar daerah dan hanya mengharapkan pembeli daripada kalangan penduduk setempat.

“Sayur kubis merupakan sayuran paling terjejas menyebabkan para petani dan peniaga terpaksa menanggung kerugian serta berlakunya pembaziran sayuran.

“Atas keprihatinan terhadap nasib komuniti setempat, UMS melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi (kini dikenali Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS) telah melancarkan dana penyelidikan COVID-19 bagi membantu masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pengiktirafan itu diperoleh melalui penyertaan secara maya dalam National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Menurutnya, pakar  UMS yang terlibat terdiri daripada kumpulan penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), serta penyelidik dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP).

“Di sini kita mengambil tanggungjawab mencadangkan beberapa idea untuk memproses sayur kubis menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada pada komuniti untuk meminimumkan risiko pembaziran sayuran. 

“Sementara menunggu tawaran dana penyelidikan dari UMS, saya telah mengadakan bengkel secara dalam talian tentang cara memproses  sayuran termasuk kubis dalam bentuk serunding dengan menginspirasikan kaedah menghasilkan serunding Tuhau yang merupakan produk makanan tempatan popular dalam kalangan masyarakat di Ranau. 

“Pada peringkat permulaan, cadangan ini mendapat tentangan umum kerana ramai yang beranggapan sayur kubis tidak sesuai dijadikan serunding. 

“Namun sekumpulan komuniti perintis telah merealisasikan idea dan resipi penyelidikan UMS dengan jayanya melalui bimbingan dalam talian,” katanya yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS. 

Jurry berkata, Serunding Kubis telah menjadi produk makanan tahan dan dipasarkan dalam talian secara meluas serta boleh didapati di platform e-Dagang seperti Shoppee dan Lazada. 

“Produk Serunding Kubis ini juga boleh didapati di beberapa cawangan pasaraya tempatan iaitu BATARAS dan SABINDO,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jurry yang juga pensyarah kanan FSSK memaklumkan, penyelidikan dan inovasi berterusan bukan sahaja membawa kepada peningkatan kualiti produk secara berterusan malah meningkatkan keupayaan komuniti sebagai pengusaha, yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada golongan terjejas.

“Dalam masa sama, produk ini secara tidak langsung memberikan idea dijadikan sebagai produk pelancongan pada masa akan datang. ‘Kibis-kibis dulu- ingat Kubis ingat Ranau’.

“Justeru, kita yakin bahawa kelangsungan produk dan keupayaan komuniti lebih  terjamin dengan penglibatan dan suntikan dana daripada banyak pihak. 

“Sebagai pemegang hak cipta resipi asas Serunding Kubis, komuniti rintis yang terdiri daripada pengusaha digalakkan bekerjasama dengan pemegang taruh lain,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement