Anda di sini

Sarawak beralih ke Fasa 3 PPN mulai 4 Ogos

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak antara tiga negeri yang akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 4 Ogos 2021, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Menurutnya, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan beralih ke fasa sama.

"Alhamdullilah, sukacita ingin saya umumkan, tiga buah negeri, yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 4 Ogos 2021.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar SOP (Prosedur Operasi Standard) dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha menambahbaik situasi pandemik (COVID-19) di negeri masing-masing diteruskan," catat beliau menerusi Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu diambil semasa Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya di Putrajaya hari ini.

Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN pada 14 Julai lalu selepas MKN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membuat penilaian risiko dan mengambil kira nilai-nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator PPN.

Muhyiddin dalam pada itu berharap dengan kerja sama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa (PPN) seterusnya.

"Kita optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat," ujarnya.

Mengenai mesyuarat khas itu, beliau memberitahu ia bagi memperincikan kemudahan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

Beliau berkata perkara itu perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

"Insya-Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu terdekat dan diharap dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement