Anda di sini

Risiko penularan COVID, KKM cadang semua mesyuarat di Parlimen ditangguh dua minggu

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar semua sesi mesyuarat di Parlimen ditangguhkan untuk tempoh dua minggu mulai 29 Julai susulan pengesanan kes COVID-19 dan kebimbangan risiko penularan jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam memaklumkan ia termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu berada di bangunan itu dari 26 hingga 29 Julai lepas.

“Cadangan ini mengambil kira hasil penilaian risiko semasa bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 daripada berlaku di Parlimen. Penilaian risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa,” katanya. 

Beliau berkata semua individu yang berada di Parlimen dari 26 hingga 29 Julai dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. 

Katanya jika mengalami gejala, mereka diminta menjalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran tempat tinggal masing-masing. 

Dr Noor Hisham berkata faktor persekitaran Parlimen termasuk keadaan dewan Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar atau menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam.

Beliau berkata tempoh berada dalam dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang selain perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau dan kafe oleh ramai individu termasuk kes. 

Katanya faktor lain ialah penjarakan fizikal dalam dewan kurang satu meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja dan perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan.

Dr Noor Hisham berkata seramai 104 orang telah disaring pada 26 hingga 28 Julai lepas di Parlimen melalui ujian saringan kendiri RTK antigen (Ag) saliva dan pada 12.30 tengah hari 29 Julai, KKM telah dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen.

Beliau berkata kes pertama merupakan seorang petugas yang hadir ke Parlimen sejak 26 Julai 2021 dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah fasiliti kesihatan kerana bergejala batuk manakala kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) saliva kerana gejala batuk dan loya. 

Katanya susulan dua kes positif, KKM telah mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag saliva ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen dan mendapati sembilan lagi kes positif COVID-19. 

Dr Noor Hisham berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif ialah 11 iaitu seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif dengan lima daripadanya bergejala. 

Beliau berkata setakat ini, seramai 48 kontak rapat telah dikenal pasti namun siasatan serta pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan dan pada 30 Julai, saringan prapersidangan Dewan Negara dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT PCR yang mendapati sembilan kes positif COVID-19.  

“Walaupun jumlah kes positif COVID-19 yang dikesan semasa sidang Parlimen adalah 0.8 peratus namun hasil penilaian risiko dengan mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran mendapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan COVID-19,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan kriteria penilaian risiko KKM termasuk faktor epidemiologi terdapat enam kes dengan kadar kebolehjangkitan tinggi serta bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi ‘superspreader.’

Faktor epidemiologi lain ialah pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain, ramai dalam kalangan yang hadir ke sidang Mesyuarat Khas Parlimen dalam kategori warga emas dan mungkin mempunyai komorbiditi selain tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi COVID-19 yang lengkap.

“Mengambil kira Sidang Mesyuarat Khas Parlimen pada 26 hingga 29 Julai 2021 melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara dan memberi risiko tinggi penularan jangkitan COVID-19 terutama di kala varian berbahaya seperti varian Delta merebak di dalam komuniti dan situasi peningkatan kes COVID-19 yang semakin melarat, KKM sememangnya bimbang sekiranya berlaku penularan jangkitan di Parlimen,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebelum sidang bermula pada 26 Julai, beliau telah membuat pembentangan kepada ‘Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak COVID19’ di Parlimen.

Beliau berkata ia dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kanan Luar Negeri yang mengetuai Kluster Keselamatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Speaker dan Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta ketua atau wakil kanan parti politik dari pihak kerajaan dan pembangkang.

“KKM kemudian telah mengemukakan dua cadangan iaitu Sidang Khas Parlimen ditangguhkan sehingga status liputan imunisasi sekurang-kurangnya 40 peratus terutama di Lembah Klang. Ini mengambil kira peningkatan kes positif COVID-19 seluruh Malaysia terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata cadangan kedua ialah jika Sidang Khas Parlimen diteruskan, jumlah kehadiran secara fizikal dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan bagi mengurangkan tempoh pendedahan.

“Dicadangkan supaya sidang hendaklah dihentikan serta-merta sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dikesan bagi mencegah berlakunya risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu yang hadir di Parlimen,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 esok ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian. 

Hari ini pula, Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah mengeluarkan notis memaklumkan Mesyuarat Khas Dewan Negara yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Ogos ini (Selasa hingga Khamis) ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. - Bernama

Advertisement