Anda di sini

Penduduk Balat Kinabatangan gembira nikmati bekalan elektrik

Advertisement
 Suasana malam bercahaya di kampung Balat Kinabatangan setelah bekalan elektrik mula disalurkan ke kampung itu.
BERCAHAYA: Suasana malam bercahaya di kampung Balat Kinabatangan setelah bekalan elektrik mula disalurkan ke kampung itu.


KINABATANGAN: Dianggarkan lebih 400 orang penduduk di Kampung Balat Kinabatangan melahirkan rasa gembira apabila kemudahan bekalan elektrik 24 jam mula beroperasi sepenuhnya.


Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) kerajaan Barisan Nasional (BN) itu sekaligus menamatkan penantian penduduk kampung berkenaan yang terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita sebelum ini.

BUNG MOKTAR RADIN
BUNG MOKTAR RADIN


Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, projek yang mula dilaksanakan pada tahun 2013 melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar menghadapi pelbagai kekangan sebelum ianya dapat disiapkan sepenuhnya antaranya masalah penyusuanan semula kampung dan masalah pendawaian.


“Alhamdulillah hari ini setelah penantian bertahun penduduk di kampung ini untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam akhirnya menjadi realiti dimana ianya bukan sahaja memberikan kemudahan yang selesa kepada penduduk sekali gus mampu menjana sumber pendapatan melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang mereka usahakan, ” katanya ketika di hubungi di sini.

 PPM Lamag semasa memberikan taklimat kepada penduduk sebelum sistem pendawaian dilaksanakan di kampung tersebut.
TAKLIMAT: PPM Lamag semasa memberikan taklimat kepada penduduk sebelum sistem pendawaian dilaksanakan di kampung tersebut.


Sementara itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag Abu Bakar Gapar berkata sekitar 76 buah rumah mendapat kemudahan bekalan elektrik 24 jam iaitu 33 rumah di penempatan program Mesej dan selebihnya 43 buah rumah di perkampungan yang disusun semula di kawasan tersebut.


Salah seorang penduduk, Masnah Aloi, dari kampung Balat berkata usaha kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk berhubung kemudahan itu nyata amat dihargai.


“Terima kasih kepada kerajaan khsusunya Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin  kerana kami sudah menikmati bekalan elektrik selepas sekian lama kami menunggu kemudahan asas ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Balat Sharin Abdul Rauf berkata ketiadaan kemudahan elektrik sebelum ini memberi kesusahan kepada mereka yang tidak berkemampuan membeli enjin jana kuasa terbabit.


“Mereka yang tidak mampu membeli enjin jana kuasa elektrik kerana amat mahal hanya bergantung kepada pelita untuk menerangi rumah masing-masing pada waktu malam.


“Maka dengan adanya kemudahan elektrik yang kini disalur ke kampung kami, memberi nafas baharu kepada penduduk yang dahagakan kemudahan itu,” katanya.


Bagi Ketua Daerah Mengundi Balat Jaafar Suar, beliau gembira melihat rumah sudah ada bekalan elektrik yang sebelum ini bergantung dengan penjana atau pelita sahaja.


Menurutnya, dia bersyukur masalah pendawaian elektrik yang tertangguh sejak sekian lama dengan komitmen serta kesungguhan Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga ADUN Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin kini sudah di selesaikan dan mereka kini menerima bekalan tenaga itu.

"Bekalan elektrik sangat membantu kami melakukan aktiviti harian dan lebih memudahkan anak-anak saya belajar mengulangkaji pada waktu malam, malah lebih selesa apabila ada kipas," katanya.

  • oleh
  • Advertisement