Anda di sini

PBB puji peranan China dalam misi pengaman

Advertisement
 
BEIJING: Sempena majlis ulang tahun ke-94 penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyampaikan pujian terhadap negara itu yang terbabit aktif dalam operasi pengaman dan menjadi tonggak serta penyumbang terhadap kedamaian dunia.

Pada sambutan itu, beberapa pegawai PBB menyatakan, dalam tempoh 31 tahun sejak China menyertai operasi pengaman, sifat gigih dan berdisiplin yang ditunjukkan pasukan pengaman China mendapat pujian meluas masyarakat antarabangsa.

Mereka melihat penyertaan dan sokongan aktif China dalam misi pengaman PBB begitu menggalakkan dan dianggap sebagai tonggak dan penyumbang utama dalam usaha mewujudkan keamanan global.

Ketua jawatankuasa pasukan ketenteraan delegasi tetap China ke PBB, Mejar Jeneral Yin Zhongliang berkata pasukan tentera China berikrar untuk terus menjalankan arahan dengan tegas di samping memikul tanggungjawab antarabangsa.

Katanya, China juga akan memberikan sumbangan lebih besar bagi menyokong operasi pasukan pengaman PBB serta memelihara kedamaian dan keselamatan dunia.

Sementara itu, Naib Setiausaha Agung PBB mengenai misi pengaman, Jean-Pierre Lacroix menyatakan, sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan dan negara penyumbang dana kedua terbesar bagi operasi pengaman PBB, sokongan China amat penting dan bermakna.

Kata Lacroix, PBB amat menghargai sokongan China kepada anggota pengaman serta piagam PBB iaitu "bertindak untuk pengamanan".

Pada masa ini, terdapat kira-kira 2,500 anggota pengaman China menyertai lapan operasi pengaman PBB.

Sejak 1990, pasukan tentera dan polis China telah menyertai kira-kira 30 operasi pengaman PBB di lebih 20 negara dan kawasan.- BERNAMA

Advertisement