Anda di sini

Lima geng pusat operasi judi online tumpas

Advertisement
Ahsmon ditemani pegawai dan anggota IPD Kuching menunjukkan empat individu yang dikehendaki untuk siasatan berkenaan judi dalam talian.
Ahsmon bersama pegawai dan anggota IPD Kuching menunjukkan gambar empat individu yang dikehendaki untuk siasatan berkenaan judi dalam talian.

KUCHING: Polis berjaya melumpuhkan lima kumpulan sindiket dipercayai mempunyai hubung kait dengan aktiviti pusat operasi dan panggilan judi dalam talian yang berleluasa di sekitar bandar raya ini beberapa bulan lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, lima kumpulan itu dikenali sebagai Geng Kenneth, Geng Ah Ju, Geng Ah Wen, Geng Alan dan Geng Kim. 

Jelasnya, kesemua tangkapan melibatkan lima geng itu dipercayai akuan mereka ada kaitan dengan salah satu kumpulan itu yang dinamakan sebagai Geng Kenneth yang mengendalikan akuan bernilai RM8 juta.

"Kita telah kenal pasti dan tangkap seorang suspek (dari Geng Kenneth) yang merupakan 'kepala' sindiket ini yang berperanan sebagai akauntan berumur 25 tahun dibantu oleh kuncu-kuncunya seramai tujuh orang yang mana semua telah kita tangkap. 

"Dengan tertangkapnya lima kumpulan ini, polis Daerah Kuching telah melumpuhkan lima sindiket yang mengendalikan dan menganjurkan sindiket pusat operasi dan panggilan judi dalam talian yang berleluasa beberapa bulan yang lepas di kawasan Kuching," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Jelasnya lagi, Geng Kenneth melibatkan lapan tangkapan termasuk akauntan terbabit, Geng Ah Ju (empat tangkapan) Geng Ah Wen (tujuh tangkapan), Geng Alan (lapan tangkapan) dan Geng Kim (lima tangkapan), hasil daripada 14 serbuan yang dijalankan sejak Jun hingga 1 Ogos 2021.

"Dalam masa sama kita ada empat lagi individu dikehendaki, kesemua lelaki yang diperlukan bagi membantu siasatan polis untuk merungkai beberapa lagi perkara yang perlu polis perlu selesaikan berkaitan perjudian dalam talian di Kuching," tambah Ahsmon. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keempat-empat individu terbabit untuk melaporkan segera kepada polis. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu secara keseluruhan, sejak Jun sehingga 1 Ogos 2021, sebanyak 14 serbuan telah dibuat di kawasan Kuching melibatkan jumlah keuntungan RM15,007,000 membabitkan judi dalam talian.

Tambahnya, dalam 14 serbuan itu, polis berjaya menangkap seramai 40 warga tempatan dan 32 warga asing mengikut pecahan 52 lelaki dan 20 wanita. 

"Dalam serbuan tersebut juga, polis merampas sebanyak 44 set komputer. Turut dirampas adalah pelbagai jenis telefon bimbit dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam operasi perjudian dalam talian," ujarnya. 

Katanya lagi, seramai 34 suspek daripada 72 orang telah dituduh di mahkamah.

Sehubungan itu, tegasnya, Op Dadu Khas akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram yang merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai.

  • oleh
  • Advertisement