Anda di sini

KPDNHEP Sarawak pantau harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen

Advertisement
Mogan (kiri) memeriksa harga runcit maksimun bagi minyak masak sawit tulen di sebuah pasar raya di Kuching.
Mogan (kiri) memeriksa harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen di sebuah pasar raya di Kuching.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) giat memantau harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen di Sarawak.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Sarawak Mogan Arumugam berkata, pemantauan dan pemeriksaan berterusan akan dilakukan setiap hari di bandar, luar bandar dan pedalaman oleh 179 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga bagi memastikan pematuhan terhadap harga maksimum minyak masak sawit ini. 

Tambahnya, di samping itu ia bagi memastikan kedudukan bekalan barang-barang keperluan asas adalah terkawal dan stabil.

"Justeru, satu pemeriksaan dijalankan semalam di premis perniagaan sekitar bandar Kuching menunjukkan bahawa peniaga patuh terhadap harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit yang ditetapkan. 

"Untuk makluman, sebanyak 56 premis perniagaan diperiksa oleh KPDNHEP seluruh negeri Sarawak semalam (Ahad)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya, pemantauan itu susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai komitmen kerajaan dalam membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia. 

Tambah Mogan, kerajaan telah bersetuju melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang CPO yang mana melalui program ini, harga minyak masak sawit botol 5 kilogram (kg) diputuskan untuk dikawal supaya harganya tidak melebihi RM30 sebotol.

"Dengan pelaksanaan harga kawalan minyak masak tulen ini, pengguna adalah dijamin untuk mendapatkan minyak masak tersebut di bawah harga RM30 untuk 5kg dan juga pada lain-lain kuantiti tanpa mengira kepada kedudukan harga sawit semasa," katanya. 

Sehubungan itu, beliau memberitahu, KPDNHEP telah mewartakan harga minyak masak sawit tulen melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum)(NO.6) 2021 yang telah berkuat kuasa 1 Ogos 2021. 

Menurutnya lagi, harga runcit maksimum yang diwartakan adalah 1kg pada harga RM6.70, 2 kg (RM12.70), 3kg (RM18.70) dan 5kg (RM29.70) 

Dalam pada itu, Mogan berkata, untuk rekod, bagi 1 Januari sehingga 1 Ogos 2021, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 41,913 premis perniagaan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar. 

"Sepanjang tempoh ini, KPDNHEP Sarawak telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 841 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM1,803,675.19 dan jumlah kompaun sebanyak RM 87,300," ujarnya. 

Justeru, tegasnya, orang ramai yang mempunyai aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian WhatsApp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

"Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Negeri Sarawak dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari (bagi pejabat negeri) dan 8.00 pagi hingga 5.00 petang (bagi pejabat cawangan)," tambahnya. 

  • oleh
  • Advertisement