Anda di sini

KOSAN nafi arahan pengosongan bangunan dibuat tergesa-gesa

Advertisement
ELLRON
ELLRON

KOTA KINABALU: Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) menafikan dakwaan arahan supaya penyewa mengosongkan bangunan Wisma KOSAN Likas di sini dibuat secara tergesa-gesa.

Pengerusi KOSAN Datuk Ellron Angin berkata, surat berhubung arahan pengosongan berkenaan dimaklumkan kepada penyewa sejak 14 Mac 2019 lagi.

Katanya, penyewa diberi tempoh selama tiga bulan untuk membuat pengosongan dan dakwaan yang mengatakan cara pengosongan itu secara tergesa-gesa adalah tidak benar.

"Bagaimanapun, kebanyakan penyewa memohon kepada KOSAN agar tempoh pengosongan dilanjutkan sehingga Disember 2019 dan perkara itu turut dipersetujui pihak KOSAN.

"Para penyewa diberikan masa yang mencukupi untuk mengosongkan bangunan. Namun, memandangkan penularan COVID 19, proses pengosongan tidak berjalan lancar.

"Ia melibatkan sebilangan kecil sahaja penyewa yang masih berada di bangunan berkenaan sehingga tarikh akhir pengosongan pada 24 Julai 2021," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pembangunan tanah Wisma KOSAN Likas ditandatangani pada 24 ogos 2015 selepas cadangan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke 30 KOSAN pada 29 Jun 2013.

Menurutnya, cadangan pembangunan itu turut dibentang, dibincang dan diluluskan oleh anggota-anggota KOSAN dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke 34 pada 19 Ogos 2017.

Dalam pada itu katanya, Wisma KOSAN adalah tanah yang dimiliki oleh KOSAN sendiri dan bukan tanah kerajaan.

Justeru jelasnya, pembangunan di kawasan berkenaan akan memberi manfaat dan keuntungan kepada anggota-anggota KOSAN serta rakyat negeri Sabah.

Selain itu beliau berkata, bangunan yang akan dibangunkan mengandungi apartment mampu milik, ruang pejabat serta lot-lot kedai.
 

  • oleh
  • Advertisement