Anda di sini

Kaedah vaksinasi jumpa terus warga emas diperluaskan ke seluruh negara

Advertisement
Khairy pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di ibu pejabat CITF, hari ini. - Gambar Bernama
Khairy pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di ibu pejabat CITF, hari ini. - Gambar Bernama


PUTRAJAYA: Kaedah vaksinasi secara jumpa terus (walk-in) bagi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas diperluaskan ke seluruh negara mulai minggu depan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media perkembangan PICK di sini hari ini beliau berkata perangkaan semasa di peringkat nasional menyaksikan 95 peratus daripada warga emas yang berdaftar telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Katanya sehubugan itu Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) membuat keputusan supaya kaedah pemberian vaksin secara jumpa terus yang dilaksanakan di Lembah Klang, diperluaskan di semua negeri.

Kaedah vaksinasi secara jumpa terus bagi warga emas telah dimulakan di Lembah Klang sejak 17 Julai lepas dengan membenarkan golongan itu mendapatkan suntikan vaksin di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan Selangor.

Khairy berkata langkah memperluaskan vaksinasi jumpa terus itu akan membantu setiap negeri mencapai nilai ambang 40 peratus populasi penduduk dewasa lengkap menerima dua dos suntikan imunisasi menjelang 31 Ogos ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu pihaknya telah menetapkan dua kriteria penghantaran bekalan vaksin kesemua negeri iaitu kawalan wabak dan negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah. 

“Kita mahu pastikan mana-mana negeri yang berada pada kadar vaksinasi rendah dapat dipertingkatkan selain membantu negeri itu menyamai negeri lain, dengan tujuan semua negeri akan capai nilai ambang 40 peratus,” katanya.

Khairy juga berkata CITF akan membincangkan mengenai keperluan untuk perolehan tambahan Sinovac menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) Jumaat ini.

Mengenai dakwaan syarikat pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech akan menaikkan harga, beliau berkata rundingan kerajaan dengan syarikat pengeluar itu untuk pembelian pada 2022 baru bermula.

"Kita belum muktamadkan perolehan dikehendaki Malaysia termasuk harga jualan yang akan ditawarkan,” katanya. - Bernama

Advertisement