Anda di sini

Elaun RM600 petugas terlibat PICK amat bertepatan - CUEPACS Sarawak

Advertisement
Omar (tiga kiri) merakam kenangan pada program Lawatan Kerja  CUEPACS Sarawak di PPV Dewan Suarah Kota Samarahan
Omar (tiga kiri) merakam kenangan pada program lawatan kerja CUEPACS Sarawak di PPV Dewan Suarah Kota Samarahan.

KUCHING: Keputusan kerajaan persekutuan menyelaraskan kadar bayaran elaun khas petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilihat amat bertepatan.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak Omar Bahrein Unin berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif tersebut kerana dapat menyuntik semangat mereka untuk terus memberi khidmat terbaik dalam mengekang penularan COVID-19.

“Terima kasih kepada kerajaan persekutuan atas pemberian elaun khas ini yang dinaikkan daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan mulai Julai 2021.

“Ini jelas membuktikan kerajaan bukan sahaja peka terhadap kebajikan malah menghargai pengorbanan golongan petugas barisan hadapan tersebut,” katanya pada program Lawatan Kerja CUEPACS Sarawak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Kota Samarahan pada Ahad.

Program lawatan itu merupakan kesinambungan daripada aktiviti yang dilaksanakan oleh CUEPACS di peringkat pusat. 

Omar berkata, pihaknya juga menyambut baik kenaikan kadar elaun RM100 sehari kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di PPV dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC) di seluruh negara.

“Penglibatan dan peranan sukarelawan ini perlu dihargai kerana mereka juga dianggap sebagai petugas barisan hadapan yang turut berdepan pelbagai risiko termasuk ancaman COVID-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, CUEPACS Sarawak menerima baik pendekatan kaedah pemberian vaksin secara jumpa terus atau walk-in di semua PPV di negeri ini termasuk Dewan Suarah Kota Samarahan.

“Kita harap usaha ini dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin sekali gus membantu Sarawak mencapai tahap imuniti kelompok 80 peratus menjelang hujung Ogos ini selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak," ujarnya.

Pada majlis itu, Omar turut menyampaikan sijil penghargaan dan memberi sumbangan minuman dan makanan kering petugas di PPV terbabit.

  • oleh
  • Advertisement