Anda di sini

Tangguh sidang khas Parlimen berdasarkan sains dan fakta kesihatan - TPM

Advertisement
 

BERA: Penangguhan Sidang Khas Dewan Rakyat pada esok (2 Ogos), dibuat berdasarkan sains dan fakta kesihatan, dan bukannya disebabkan oleh agenda politik, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata keputusan itu dibuat selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah susulan perkembangan kes positif yang berlaku dalam tempoh empat hari persidangan yang bermula Isnin lepas.

"KKM mempunyai Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk menangguhkan (Parlimen) atas faktor kebimbangan. Kita tiada gelembung hijau Parlimen...yang mana mereka ini hanya dibolehkan dari Parlimen terus pulang ke rumah dan langsung tidak ke mana-mana.

"...dan kita tidak tahu, jika ada yang positif mereka akan pulang ke rumah dan bertemu ahli keluarga selain mungkin ada ke tempat lain seperti masjid, pasar raya dan sebagainya yang berisiko merebakkan kes kepada lebih ramai lagi," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan di Masjid Charuk Puting serta meninjau pelaksanaan jambatan Guai di sini hari ini. 

Setakat ini, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 19,372 bakul makanan telah diagihkan kepada individu yang memerlukan sekitar daerah Bera, selain turut disampaikan ialah keperluan masjid dan surau termasuk set pengurusan jenazah. 

Pada 28 Julai lepas, Dr Noor Hisham mengesahkan 56 kes positif dikesan dalam ujian saringan yang dilakukan antara 21 hingga 25 Julai lalu bagi sesi Mesyuarat Khas Parlimen manakala ujian saringan pada Khamis lepas mendapati 11 lagi individu turut positif.

Ismail Sabri juga menjelaskan bahawa KKM pada mesyuarat khas yang dihadirinya sebelum persidangan berlangsung, telah mencadangkan supaya sesi Parlimen ditangguhkan atau dijalankan dengan syarat tempoh persidangan dipendekkan serta jumlah kehadiran ahli Parlimen dihadkan kepada 80 orang pada satu-satu masa, namun perkara itu tidak dipersetujui pembangkang. 

"Kita takut berlaku peningkatan kes, namun mereka kata belum berlaku dan cuba (bersidang) dulu dan dilakukan juga walaupun sudah nampak akan berlaku peningkatan kes. Lepas empat hari bersidang, buat swab test dan memang ada lagi pertambahan kes. 

"Akhirnya KKM keluarkan nasihat supaya Parlimen ditangguhkan dan kita ikut kerana ini isu yang melibatkan nyawa," katanya. 

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap tiada pihak yang mempolitikkan isu penangguhan itu, namun tidak hairan jika ia berlaku kerana menyifatkan politik di Malaysia tidak pernah reda, berbanding di negara lain yang tamat selepas berakhirnya pilihan raya. 

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi kenyataan memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Isnin ini ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian. 

Sementara hari ini, Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah mengeluarkan notis memaklumkan mesyuarat khas Dewan Negara yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Ogos ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. - Bernama 

Advertisement