Anda di sini

Olimpik Tokyo: Penantian berbaloi, pencapaian tertinggi buat Aaron-Wooi Yik

Advertisement
Aaron (kanan) dan Wooi Yik (kiri) bergambar bersama pingat gangsa yang dimenangi selepas mengalahkan regu dari Indonesia di temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada Ahad. - Gambar Bernama
Aaron (kanan) dan Wooi Yik (kiri) bergambar bersama pingat gangsa yang dimenangi selepas mengalahkan regu dari Indonesia di temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada Ahad. - Gambar Bernama

TOKYO: Kejayaan membutirkan gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo malam tadi merupakan pencapaian tertinggi pasangan beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sejak kali pertama digandingkan pada 2015.

Turun sebagai bukan pilihan pada temasya sukan terbesar dunia di Jepun itu, ramai tidak menyangka bahawa Aaron-Wooi Yik mampu meraih kejayaan buat negara namun mereka berjaya membuktikannya apatah lagi merupakan penyumbang pingat pertama negara di Olimpik Tokyo.

Aaron-Wooi Yik bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk merangkul gangsa selepas menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan mendebarkan yang berlangsung hampir sejam, semalam.

Lebih menarik, pasangan kesembilan terbaik dunia itu juga mencipta kejutan terbesar apabila unggul mencatatkan kemenangan  ke atas pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga dari Indonesia, 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir, Khamis lepas.

Kemenangan sulung direkodkan ke atas pilihan utama Olimpik Tokyo itu menyaksikan mereka berjaya menamatkan badi kekalahan sebanyak tujuh kali berturut-turut sejak pertama kali bertemu di Terbuka Malaysia 2018.

Sebelum detik gemilang di Tokyo, tidak banyak pencapaian membanggakan diraih gandingan muda itu.

Nama mereka menyinar selepas merangkul pingat emas beregu lelaki pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, merupakan kejayaan tunggal utama mereka selain pernah bergelar naib juara All England 2019 selepas tewas kepada Muhammad Ahsan-Hendra, 21-11, 14-21, 12-21 pada aksi final.

Bukan itu sahaja, pasangan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan muncul kali pertama di peringkat junior pada Kejohanan Antarabangsa Belia Bawah-19 di Malaysia pada 2015 itu pernah dipisahkan sebelum digandingkan semula di peringkat senior pada 2017 di Malaysia International Challenge.

Sementara itu, Aaron, 24, anak jati Melaka yang mula mewakili negara pada 2014 di Indonesia International Series 2014 bersama gandingannya ketika itu, Guo Zheng Sim, telah bermain badminton seawal usia tujuh tahun lagi sebelum mula memasuki pertandingan ketika berumur 10 tahun.

Selain Wooi Yik dan Zheng Sim, Aaron yang dilihat lebih banyak bermain dalam kategori beregu pernah digandingkan bersama pemain lain seperti Goh Sze Fei, Tan Jinn Hwa dan Muhammad Idham Zainal Abidin Syazmil.

Bagaimanapun, mungkin ramai tidak tahu bahawa Wooi Yik yang mula bermain badminton pada usia enam tahun pernah bermain dalam kategori perseorangan lelaki di peringkat junior pada 2012 dalam kejohanan Smiling Fish International Series di Thailand.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu juga pernah digandingkan bersama pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Belia Asia Bawah 15 dan 17 tahun di China juga pada 2012 selain pernah bermain bagi kategori beregu campuran bersama Anna Cheong Ching Yik pada 2015 dan M. Thinaah setahun kemudian. - Bernama 

Advertisement