Anda di sini

Aktiviti kunjung-mengunjung cetus kluster baharu

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Aktiviti kunjung-mengunjung dalam kalangan jiran tetangga semasa sambutan Aidiladha telah mencetuskan satu kluster COVID-19 baharu hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Tembidong Bidong Telupid, Beluran adalah penularan jangkitan dalam komuniti.

"Kes indeks adalah wanita, 55, disahkan positif COVID-19 melalui PCR Genexpert di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada 19 Julai 2021 selepas dirujuk oleh Klinik Kesihatan Nangoh kerana bergejala batuk dan sesak nafas sejak 17 Julai 2021. 

"Turut dikesan positif ialah suami kes indeks pada hari yang sama, diikuti 18 kes hasil saringan (PCR) kontak rapat pada 21 Julai 2021," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setakat hari ini katanya, daripada 292 individu yang disaring, kluster ini merekodkan 88 kes positif COVID-19 merangkumi 78 kes termasuk 31 kes baharu di Telupid dan 10 kes termasuk empat kes baharu di Beluran. 

Dalam pada itu katanya, satu lagi kluster baharu dikesan melibatkan jangkitan di tempat kerja. Kluster Jalan Patikang Ulu Keningau dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.

"Kes indeks merupakan lelaki, 19, kerani di sebuah syarikat bengkel dan servis jentera berat. Pada 29 Julai 2021, kes indeks yang menjalani saringan bergejala di klinik swasta didapati positif COVID-19.

"Pada hari yang sama, klinik yang sama menerima satu lagi kes positif yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks," katanya.

Menurutnya, saringan kontak rapat di lapangan yang dilakukan oleh pasukan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau serta klinik swasta kemudiannya mengesan 12 lagi kes positif pada 30 Julai 2021. 

Setakat hari ini katanya, kluster itu menokok tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 17 kes melibatkan Mukim Patikang dan Lingkudau di daerah Keningau.

Katanya, penambahan bilangan kes disyaki berpunca daripada pergaulan di antara penghuni rumah sewa yang padat di Jalan Patikang Ulu.
 

  • oleh
  • Advertisement