Anda di sini

Wanita disamun lelaki baharu dikenali

Advertisement
 Lokasi kejadian mangsa dipukul sehingga cedera dan disamun lelaki baharu dikenali.
TRAGEDI: Lokasi kejadian mangsa dipukul sehingga cedera dan disamun lelaki baharu dikenali.

SEMPORNA: Seorang wanita ditemui dalam keadaan cedera setelah disamun oleh lelaki baharu dikenalinya di Jalan Kuala Bebang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan  berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.50 pagi daripada orang awam.

“Orang awam menemui mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan anggota lain terbaring di atas jalan raya di lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati wanita tersebut berumur 40 tahun bekerja sebagai tukang cuci di salah sebuah hotel di pekan Semporna,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Farhan berkata, menurut keterangan mangsa, dia mengikuti suspek seorang lelaki yang baharu sahaja dikenalinya dengan menaiki sebuah motor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek bertindak berang memukul mangsa dengan menggunakan topi keledarnya.

“Suspek juga turut menyamun barang milik mangsa iaitu sebuah beg tangan yang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit dan wang tunai RM500,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil.

 “Polis juga sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

“Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan mana-mana individu yang baharu dikenali,” katanya

  • oleh
  • Advertisement