Anda di sini

Lockdown bukan lagi kaedah berkesan

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: ‘Lockdown’ bukan lagi kaedah berkesan untuk mengekang penularan COVID-19 memandangkan wabak berkenaan sudah berada dalam komuniti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setiap daripada individu dalam masyarakat secara tak sedar berkemungkinan sudah menjadi pembawa virus tidak sudah divaksin atau pun belum.

"Setiap daripada kita kini adalah berpotensi sebagai pembawa virus, kita boleh menjangkiti orang-orang disekeliling kita walaupun kita berada dalam suasana lockdown atau tinggal di 
kawasan dibawah PKPD. 

"Dulu lockdown adalah kaedah yang berkesan kerana jangkitan berlaku dalam kawasan terhad atau ‘localised’.

"Sekarang jangkitan berada dalam komuniti. Lockdown atau PKPD secara berterusan hampir melumpuhkan ekonomi kita. Banyak syarikat gulung tikar atau rugi besar," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan penduduk juga hilang punca pendapatan dan sekarang bergantung kepada bantuan Kerajaan.

Katanya, mereka mahu berkerja semula untuk menyara keluarga mereka. Kemampuan Kerajaan untuk terus memberi bantuan dan subsidi sudah terhad.

"Kita perlu mengimbangi hidup dan kehidupan dan ini tidak boleh dibuat dengan pendekatan lockdown atau PKPD semata mata.

"Kunci melawan dan mengurus pandemik ini ialah pematuhan SOP dan meningkatkan kadar vaksinasi dikalangan penduduk," katanya.

Menurutnya, kapasiti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk memberi vaksin sudah sampai ke tahap 50 ribu dos sehari dan akan dipertingkatkan lagi hingga ke sekitar 60 ribu dos sehari bergantung kepada bekalan vaksin.

Katanya, rakyat sudah agak lesu dalam keadaan ‘terkurung’ dan mungkin sudah agak lalai mematuhi SOP.

"Pematuhan SOP secara total membantu kita mengelak dapada dijangkiti. Vaksinasi memberi kita ‘kekebalan’ daripada jangkitan virus sehingga 90 perutus.

"Kita masih boleh dijangkiti tetapi kesannya ringan dan tidak memerlukan rawatan hingga masuk ke hospital. Ianya bukan mengancam nyawa.

"Strategi pendekatan kita seterusnya berasaskan perkara-perkara yang telah dinyatakan diatas," katanya.

Menurutnya, lockdown semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kes jangkitan yang semakin bertambah. Ia sekadar satu kaedah dan bukan satu-satunya jalan keluar daripada jangkitan yang bertambah. 

"Dulu kita tidak ada pilihan lain selain daripada lockdown kerana vaksin belum ada. 

"Peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk Sabah bagi membolehkan kita mencapai kelompok imuniti dan penguatkuasaan pematuhan SOP secara berkesan  terbukti lebih berkesan menurunkan jumlah jangkitan setiap hari," katanya

  • oleh
  • Advertisement