Anda di sini

Kes positif COVID-19 di Sabah mencecah 1035

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan kes melebihi paras seribu untuk hari kedua berturut-turut mencecah 1035 dengan ibu negeri ini merekodkan kes tertinggi mencecah 212 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata dua kluster baharu turut direkodkan iaitu Kluster Gambaron Dua, Telupid yang mencatatkan 53 kes setakat ini manakala Kluster Jalan Corak Tongod yang sudah merekodkan 12 kes.

“Kontak rapat terus menyumbang peratusan tertinggi sebanyak 497 kes daripada jumlah kes keseluruhan dan saringan kes bagi kluster sedia ada menyumbang sebanyak 18.5 peratus bersamaan 191 kes.

“Saringan bergejala menyumbang kes kedua tertinggi hari ini sebanyak 251 kes bersamaan 24.3 peratus dan ini adalah satu petanda jelas bahawa COVID-19 sudah pun berada dalam komuniti dan jangkitan berlaku secara sporadik,” katanya.

Tambahnya 115 dpd kes hari ini adalah saringan daripada tahanan bagi kesalahan Imigresen, empat di penjara Kota Kinabalu dan 111 daripada Depoh Tahanan Imigresen Tawau yang dimasukkan dalam kategori bergejala.

Katanya Kerajaan Negeri melalui agensi penguatkuasa akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan SOP dipatuhi dan pada masa sama meningkatkan keupayaan  memberi vaksinasi kepada semua penduduk pada kadar lebih cepat.

Masidi berkata untuk kes hari ini Tawau berada pada kedudukan kedua dengan 139 kes dan daerah lain yang mencatat kes melebihi 30 ialah Tuaran 72, Telupid 71, Kota Marudu 70, Penampang 67, Sandakan 52, Keningau 49, Beaufort 45, Papar 42, Beluran 35, Kinabatangan 33 dan Sipitang 33.

  • oleh
  • Advertisement