Anda di sini

Pegawai Maritim didenda terima suapan

Advertisement
Tertuduh bersama pegawai SPRM, keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum.
Tertuduh bersama pegawai SPRM, keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) didenda RM10,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerima wang suapan RM8,000.00.

Tamisan Tumen, 55, yang berpangkat Pegawai Waran II didapati bersalah kerana menerima wang daripada Datuk Sri Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin pada tahun lalu. Dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang tanpa sebarang balasan yang diketahui berkaitan tugas rasminya sebagai Pegawai Waran II APMM bertugas di Maritim Tanjung Sedili, Johor.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya secara berperingkat antara April hingga Disember 2020 dan wang disalurkan ke akaun bank milik tertuduh yang berpusat di Jalan Satok, di sini secara pemindahan dalam talian. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sebagai pemangku Ketua Bot Penggalang 15, diberikan tugas untuk memeriksa kapal di perairan Johor bagi memastikan ia mematuhi undang-undang dan peraturan Kerajaan Malaysia.

Pada awal 2020, tertuduh menjalankan pemeriksaan terhadap satu daripada kapal yang dimiliki oleh Datuk tersebut dan mengarahkan pengurus kapal itu untuk mengemukakan dokumen relevan berhubung kebenaran dari pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya hendak berlabuh.

Pengurus kapal bagaimanapun gagal berbuat demikian dan sebaliknya memohon tertuduh membantu mengelakkan kapal milik Datuk untuk tidak diperiksa.

Sebagai balasan, tertuduh diberikan wang setiap bulan.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh memohon agar dikenakan hukuman paling ringan atas alasan dia mempunyai isteri dan lima orang anak untuk ditanggung.

Tertuduh juga memaklumkan mahkamah yang ibunya baru meninggal dunia pada jam 8.30 pagi hari ini, selain mengatakan bahawa dia telah membelanjakan wang yang banyak untuk menghadiri prosiding mahkamah di sini. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Nisla Abdul Latif bagaimanapun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat.

Menurutnya, tertuduh yang sepatutnya memeriksa kapal di perairan Malaysia telah gagal melaksanakan tugas diamanahkan, sekaligus boleh membahayakan keselamatan perairan negara pada masa akan datang.

Nisla juga memohon hukuman berat bagi menggambarkan tahap keseriusan kesalahan membabitkan penjawat awam. 

Advertisement