Anda di sini

Pegawai Imigresen didenda RM30,000 akibat gagal lapor rasuah

Advertisement
Tertuduh selesai membayar denda di Mahkamah Kuching, hari ini.
Tertuduh selesai membayar denda di Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang pegawai Imigresen wanita dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan gagal melaporkan suapan berjumlah RM8,200 yang diberikan kepadanya, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh Dina Azanina Morshidi, 41, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan alternatif dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Mahkamah juga menetapkan tertuduh dipenjara sepuluh bulan sekiranya gagal membayar denda.  

Tertuduh dikatakan membayar denda.

Tertuduh didakwa mengikut dua pertuduhan alternatif, masing-masing dibuat di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan alternatif pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Kawalan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa diberikan suapan wang tunai berjumlah RM1,100 daripada wakil syarikat Doyana Enterprise’s.

Transaksi berkenaan dibuat melalui akaun bank milik anak perempuannya pada 22 November 2017, di sebuah bank terletak di Jalan Laksamana Cheng Ho, di sini.

Tertuduh sekali lagi mengulangi perbuatan sama pada 5 Disember 2017, membabitkan wang berjumlah RM7,100. 

Berdasarkan keterangan kes, pada 2016, tertuduh mula menerima kerja untuk melepaskan warganegara asing khususnya daripada China yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa di negara, pas khas palsu, penumpang imigresen disenarai hitam dan kesemuanya dibuat melalui kaunternya semasa bertugas.

Wang daripada hasil kegiatan tersebut kemudiannya didepositkan ke dalam bank akaun milik anaknya yang dibuka di salah sebuah cawangan bank di sini dan anaknya dilaporkan tidak mempunyai akses ke akaun itu.

Dengan menggunakan duit itu juga, tertuduh dilapor membeli pelbagai barangan kemas seperti gelang kaki dan cincin bernilai RM10,000.

Hasil siasatan SPRM juga mendapati setakat 27 November 2020, baki akaun bank atas nama anak tertuduh mempunyai wang berjumlah RM272,452.61. 

Sehubungan itu, Hakim Steve semasa menjatuhkan hukum membenarkan lucuthak ke atas barang kemas berjumlah RM10,000 itu, selain memerintahkan wang di dalam anak tertuduh berjumlah RM200,000 dan selebihnya dipulangkan.

Terdahulu, tertuduh didakwa atas 22 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan menerima wang berjumlah RM109,600 secara berperingkat daripada Mohd Syah Ezyan Abd Rahman, seorang pegawai Imigresen lelaki berusia 34 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Selain itu, dia juga didakwa gagal melaporkan kegiatan rasuah dan seterusnya berhadapan 20 pertuduhan di bawah Seksyen 25(1) ASPRM 2009, melibatkan wang berjumlah RM109,600.

Bagaimanapun difahamkan, kesemua pertuduhan tersebut digugurkan dan pada hari ini, tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan alternatif tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement