Anda di sini

Moratorium dan bagaimana ia membantu anda

Advertisement
 

Kerajaan persekutuan sekali lagi telah mengumumkan pakej bantuan moratorium melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Moratorium atau istilah lebih tepatnya bantuan pembayaran pembiayaan kali ini berbeza dengan apa yang diperkenalkan sebelum ini kerana ia berkonsepkan 'opt-in' iaitu mereka yang memerlukan boleh memilih untuk mengambil moratorium, berbanding moratorium yang dahulu iaitu berkonsep 'opt-out' di mana ia diberikan kepada semua dan siapa yang tidak memerlukan boleh memilih untuk meneruskan bayaran bergantung kepada kemampuan seseorang peminjam.

Bagi mendapatkan kelulusan untuk moratorium berkonsep 'opt-in' ini tiada syarat seperti pengurangan pendapatan dikenakan oleh institusi kewangan terbabit dan permohonan telah mula dibuka pada 7 Julai 2021. Penawaran moratorium umumnya boleh meringankan beban kewangan peminjam yang mengalami kekurangan atau kehilangan pendapatan.

Pendekatan morotorium 'opt-in' ini memberi kuasa kepada peminjam untuk membuat keputusan berkaitan bantuan bayaran balik yang bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka. Selain itu peminjam diberi peluang membuat pilihan menguruskan keperluan kewangan dan kos pinjaman mereka dengan bijak.

Pengambilan moratorium boleh memberi implikasi kepada struktur bayaran balik pinjaman setiap bulan kerana ia merupakan penangguhan bayaran bukannya pengecualian bayaran. Justeru moratorium sememangnya amat diperlukan oleh mereka yang kehilangan atau kekurangan pendapatan, tetapi sekiranya mampu peminjam sepatutnya meneruskan pembayaran kerana terdapat implikasi kos.

Setiap penangguhan akan melibatkan kos kerana jika peminjam memilih untuk mengambil moratorium, kadar ansuran bulanan dan baki pokok pinjaman selepas penangguhan akan turut berubah. Sebagai contoh, bagi pinjaman perumahan selama 30 tahun yang bernilai RM500,000, kadar faedah dikenakan ialah 3.25 peratus setahun dan ia merupakan faedah tidak berkompaun. Peningkatan kos dapat dilihat dari jumlah ansuran bulanan iaitu sebelum penangguhan peminjam perlu membayar RM2,176, walau bagaimanapun jumlahnya akan bertambah sebanyak RM36 dan menjadi RM2,221 sebulan selepas penangguhan.

Justeru itu, baki tertunggak bagi pinjaman yang berbaki 27 tahun lagi sebelum moratorium atau penangguhan ialah RM468,967 dan jumlahnya akan meningkat sebanyak RM7,621 dan menjadikan baki keseluruhan selepas penangguhan adalah RM 476,587.

Penangguhan hutang ini tidak seharusnya dijadikan tabiat kerana ia akan meningkatkan lagi baki hutang dan pertimbangan harus dibuat sebelum memutuskan untuk mengambil moratorium. Dalam hal ini, peminjam yang tidak berkemampuan membayar balik pinjaman akibat kehilangan pekerjaan seharusnya menilai kemampuan diri.

Sekiranya peminjam tidak berkemampuan langsung atau dengan kata lain tidak mempunyai wang yang cukup bagi menampung keperluan asas maka memilih moratorium adalah penyelesaiannya kerana mereka memerlukan duit. Manakala bagi peminjam yang mempunyai pekerjaan atau simpanan tetapi mengalami pengurangan pendapatan atau simpanan terhad, mereka mungkin boleh memilih untuk menstruktur semula pinjaman supaya mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman serta dapat menampung kehidupan mereka.

Sekiranya peminjam memilih untuk mengambil moratorium mereka harus memahami kadar faedah masih berjalan maka jumlah penuh yang perlu dibayar akan meningkat. Manakala sekiranya peminjam menstruktur semula dengan kadar bayaran lebih rendah, tempoh bayaran balik pinjaman akan dipanjangkan dan jumlah bayaran tetap meningkat tetapi pada jumlah berbeza.

Oleh itu semua ini bergantung kepada kemampuan seseorang peminjam.  Mereka perlu mengutamakan keperluan asas serta simpanan waktu kecemasan, perbelanjaan lain harus ditangguh dan memberi keutamaan kepada penyelesaian pinjaman. Jika peminjam mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dan tidak boleh memohon moratorium dari bank, mereka juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai serta khidmat nasihat kewangan.

Mereka yang memilih mengambil moratorium pula harus bijak merancang aliran tunai dengan mengira setiap ringgit yang dibelanjakan, utamakan keperluan, tangguhkan kehendak. Selain itu, simpanan waktu kecemasan perlu ada, walaupun RM1 sehari tetapi ia harus dilakukan selalu dan juga wujudkan aliran pendapatan baharu dengan memulakan perniagaan dan sebagainya.

 

Tambahan lagi, kedudukan hutang perlu dipelihara dan sekiranya orang ramai ingin mendapat khidmat nasihat kewangan, mereka boleh berjumpa AKPK atau pihak bank. Orang ramai disarankan untuk menambah ilmu pengetahuan kewangan dengan mengikuti pelbagai kursus percuma dalam talian di power.akpk.org.my dan diantara nya ialah kursus RUMAHKU. Di bawah kursus RUMAHKU, bakal pembeli rumah pertama akan dibantu membuat perancangan kewangan yang bijak dan selain itu mereka boleh mendapat panduan serta maklumat berguna tentang pemilikan rumah di negara ini. Bakal pembeli juga dinasihatkan untuk melakukan penilaian kendiri sama ada mereka sudah bersedia, mampu dan layak mengambil pinjaman perumahan.

Akhir kata, AKPK juga tidak terlepas menjadi modal golongan tidak bertanggungjawab. AKPK seringkali menerima aduan tentang adanya pihak ketiga atau ejen yang mengaku mewakili AKPK dan mengenakan caj atau bayaran perkhidmatan. AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga dan perkhidmatan AKPK adalah percuma kepada semua individu dan PKS. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus berhubung terus dengan AKPK atau insititusi kewangan dan badan autoriti yang sah bagi mendapatkan perkhidmatan atau nasihat kewangan agar tidak mudah ditipu.

AKPK menyediakan perkhidmatannya secara dalam talian secara holistik dan menyeluruh kepada individu dan PKS. Individu dan PKS yang ingin mendapatkan perkhidmatan AKPK boleh melayari https://services.akpk.org.my dan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK. Selain itu, AKPK juga menyediakan panduan kewangan melalui modul-modul pendidikan kewangan di https://power.akpk.org.my. AKPK juga menggunakan media sosial rasminya iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram dan Twitter untuk menyampaikan maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada perkhidmatan yang disediakan.

Orang ramai bolehlah menggunakan medium yang telah disediakan termasuk berhubung terus secara dalam talian dengan penasihat kewangan AKPK sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan AKPK. #AKPK For All. #AKPK Sahabat Kewangan Anda.

  • oleh
  • Advertisement