Anda di sini

Lelaki kena 12 tahun kerana merompak

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita, pada 2018.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Marutin Pagan terhadap Mohd Abdul Razaaq Abdul Rahman, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh. Tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dari tarikh jatuh hukum dan sepuluh sebatan,” ujar Marutin semasa menjatuhkan hukum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama rakannya Shahrizat Abul As, 25, didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang gadis, Nehemiah Subang, 22, pada 15 November 2018. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di jalan utama Pasir Pandak, Jalan Sultan Tengah di sini, pada jam 2.55 pagi. 

Berdasarkan fakta kes, mereka yang menaiki kereta sedan mempelawa untuk menghantar mangsa balik ke rumahnya di Kampung Semariang.

Dalam perjalanan menghala ke Pasir Pandak, mereka mengarahkan mangsa untuk menyerahkan barangan berharga seperti telefon bimbit, rantai, gelang tangan, wang tunai RM45, kad bank dan baju kemeja-T, selain meminta kata laluan kad bank mangsa. 

Pada masa yang sama juga, mereka juga dilaporkan meraba seluruh badan mangsa.

Setelah sampai di simpang Pasir Pandak, mereka meninggalkan mangsa di sana. 

Mangsa dalam pada itu dapat mengecam wajah kedua-dua tertuduh kerana pada waktu kejadian, mereka tidak memakai topeng atau penutup muka.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, rakan tertuduh yang terlibat sama dalam kes ini (Shahrizat) telah dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun dan dikenakan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching pada 17 Julai 2020.

Shahrizat juga dikatakan dipanggil sebagai saksi pendakwaan bagi kes ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh diwakili peguam dari Simon Siah, Chua & Chow Advocates.
 

  • oleh
  • Advertisement