Anda di sini

Warga Indonesia dipenjara, terbabit judi dalam talian

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat mengendalikan mesin perjudian dalam talian.  

Tertuduh Kardinus Midun, 27, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Sekyen 4(B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dibacakan terhadapnya. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Landak, Indonesia itu didakwa terlibat berurusan dan menjalankan transaksi dengan mesin judi iaitu sebuah telefon pintar, pada 1 Julai lalu, jam lebih kurang 2.05 petang di Jalan Stampin Baru, di sini. 

Hasil siasatan polis, tertuduh ditangkap bersama peralatan perjudian iaitu sebuah telefon pintar, satu keping keratan kertas bertulis kata laluan disyaki judi dalam talian dan wang tunai berjumlah RM60. 

Analisa yang dibuat pakar judi mendapati barang kes yang dirampas merupakan mesin perjudian seperti dinyatakan dalam tafsiran mesin judi Para (B), Seksyen 2 ARJT 1953. 

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar tidak dikenakan hukuman berat dan memohon agar dihantar semula ke negara asalnya. 

Majistret Zaiton Anuar kemudian menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Julai lalu, selain mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selesai menjalani hukuman untuk tindakan lanjut. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang sementara tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement