Anda di sini

Polis tahan lelaki salahguna kebenaran rentas daerah, bawa daun ketum 80 kilogram

Advertisement
 Daun ketum seberat 80 kilogram yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS: Daun ketum seberat 80 kilogram yang dirampas daripada suspek.

KENINGAU: Seorang lelaki ditahan selepas membawa sejumlah bungkusan mengandungi daun ketum semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Kilometer 7 Jalan Tambunan - Kota Kinabalu, di sini.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata suspek yang menaiki pacuan empat roda itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mendapati suspek berumur lingkungan 30-an itu menunjukkan kelakuan mencurigakan.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek kemudiannya menemukan 10 bungkusan plastik warna hitam yang berisi daun ketum di bahagian belakang,” katanya.

Menurutnya suspek dalam perjalanan pulang ke Ranau selepas memperoleh bekalan daun ketum dari Tenom.

"Suspek juga didapati menyalahgunakan surat rentas daerah untuk tujuan lain dan daun ketum seberat 80 kilogram yang diperoleh itu diproses menjadi air ketum sebelum diedarkan di Ranau.

"Suspek dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak awal tahun ini," katanya.

Shahrudin berkata suspek warga tempatan itu kini direman selama empat hari mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1852 kerana memiliki daun ketum yang mengandungi Mitragynine yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama.

"Jila sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

“Gejala penyalahgunaan ketum harus dipandang serius kerana ia mengandungi bahan alkaloid psikoaktif yang menyebabkan ketagihan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa memiliki atau menjual sebarang bentuk dedaun atau cecair ketum adalah satu kesalahan.

"Polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripara orang awam untuk sama - sama membanteras kegiatan penyalahgunaan ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement