Anda di sini

Pembantu penguatkuasa JPJ mengaku tidak bersalah terima suapan

Advertisement
 

ALOR SETAR: Seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,600 pada 2018.

Mohd Nurhuraimee Yahaya, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad setelah kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia yang ketika itu bertugas di Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil dekat Baling, dituduh menerima RM300 pada 20 Jan 2018, melalui akaun bank seorang wanita daripada seorang lelaki yang tertuduh mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan rasmi dengan jawatan tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, Mohd Nurhuraimee didakwa melakukan perbuatan sama,  berjumlah RM1,300 juga melalui akaun serupa daripada lelaki sama antara Februari dan Jun 2018.

Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu di Malayan Banking Berhad Cawangan Central Square di Sungai Petani, Kedah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Ogos  untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Firdaus Mohamed Farouk. - BERNAMA 

Advertisement