Anda di sini

Lelaki lepas dan bebas tuduhan cabul, aibkan polis, ceroboh pejabat JSJ Simpang Tiga

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membebas serta melepaskan seorang lelaki daripada pertuduhan mencabul dan mengaibkan seorang polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) serta menceroboh pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Simpang Tiga. 

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan demikian terhadap tertuduh, Azlan Aris Fadzillah Mohd Taha, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya. 

“Setelah meneliti semua bukti dan melakukan penilaian maksimum, mendengar semua saksi pendakwaan dan penghujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal menubuhkan kes prima facie di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan untuk pertuduhan pertama, Seksyen 509 Kanun Keseksaan untuk pertuduhan kedua dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan untuk pertuduhan ketiga. 

“Pihak pendakwaan juga gagal memenuhi semua elemen penting untuk semua tuduhan tersebut dan sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan,” ujar Zubaidah semasa prosiding. 

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut semasa berada di pejabat JSJ Simpang Tiga di sini, pada 22 Februari 2019, jam lebih kurang 9 pagi. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul mangsa wanita berusia 43 tahun berkenaan. 

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengaibkan kehormatan mangsa dengan mengeluarkan kata-kata berbaur lucah selain menunjukkan kemaluannya kepada mangsa. 

Pertuduhan ketiga pula menyaksikan tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki pejabat JSJ berkenaan tanpa kebenaran. 

Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, Seksyen 509 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Seksyen 447 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam dari Azmi & Co. Advocates. 
 

  • oleh
  • Advertisement