Anda di sini

Gagal jaga keselamatan pekerja sehingga maut, syarikat pembinaan didenda RM38,000

Advertisement
 

IPOH: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM38,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut, dua tahun lepas.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat Rantau Urusan (M) Sdn Bhd selepas pengarahnya Lee Wei Jin, 38, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan syarikat berkenaan membayar denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama dan RM35,000 bagi pertuduhan kedua serta menetapkan hukuman penjara masing-masing empat bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat berkenaan didakwa gagal memberitahu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang terdekat dengan cara yang paling cepat bagi kemalangan pekerja warga Bangladesh bernama Zaffor, yang mengalami kecederaan badan yang serius semasa sedang bekerja di Lot PT2718, Bandar Seri Iskandar, Perak Tengah pada 8.15 pagi, 28 Dis 2019.

Syarikat berkenaan dituduh di bawah Peraturan 5(1)(b)(aa) Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 13, peraturan yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didakwa telah gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di bawah kawalannya iaitu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja mengalihkan saluran sampah di Blok D sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Zaffor, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 19 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak Norissham Ishak manakala syarikat itu tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Advertisement