Anda di sini

2,588 pemandu di Sabah terima bayaran RM500 PEMERKASA Plus Fasa 1 

Advertisement
CHIN KIM HIUNG
CHIN KIM HIUNG

KOTA KINABALU: Seramai 2,588 pemandu pengangkutan awam di Sabah mula menerima bayaran RM500 bantuan one-off Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1 hari ini.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Chin Kim Hiung berkata, bantuan berkenaan melibatkan sebanyak RM1.29 juta peruntukan.

Katanya, penerima bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 membabitkan pemandu teksi dan kereta sewa seramai 1,818 orang, pemandu bas pelancong seramai 391 orang dan pemandu bas sekolah seramai 379 orang.

"Penerima akan mendapat bantuan ini secara automatik menerusi akaun bank masing-masing memandangkan mereka adalah penerima sedia ada yang menerima bantuan PERMAI dan Geran Khas Prihatin (GKP).

"LPKP Sabah juga menerima senarai nama bagi 4,627 pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4,461 pemandu GRAB, 54 pemandu Maxim dan 112 pemandu MyCar.

"Seramai 3,690 pemandu GRAB, 44 pemandu Maxim dan 106 pemandu MyCar layak menerima bantuan selepas saringan yang dijalankan oleh LPKP Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, permohonan yang ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021.

Selain itu jelasnya, pemandu juga perlu mempunyai lesen e-vehicle permit (EVP) dan lesen public service vehicle (PSV0 yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021.

Chin berkata, semakan bagi senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat melalui pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.

"Bagi mereka yang tidak layak, rayuan boleh dihantar kepada LPKP Sabah menerusi emel [email protected] beserta dokumen sokongan yang berkaitan sebelum 9 Ogos 2021.

"Pembayaran bantuan bagi pemandu e-hailing akan dibuat selepas tempoh rayuan ditutup.

"Diharap bantuan dari kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini," katanya.

Pihaknya turut mengingatkan semua pemandu pengangkutan awam di Sabah agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
 

  • oleh
  • Advertisement