Anda di sini

Peniaga tak mengaku tipu rakan hampir RM400,000

Advertisement
Peguam Daniel (kanan) dan Jackson (kiri) menjelaskan mengenai kes tersebut kepada tertuduh (tengah) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching, hari ini.
Peguam Daniel (kanan) dan Jackson (kiri) menjelaskan mengenai kes tersebut kepada tertuduh (tengah) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang peniaga lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 21 pertuduhan menipu rakannya sehingga menimbulkan kerugian RM382,500, membabitkan urusan pembayaran cukai bagi syarikat pembinaan milik mangsa.

Tertuduh, Voon Swee Khin, 57, membuat pengakuan tersebut sebaik kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali, Majistret Zubaidah Sharkawi dan Majistret Zaiton Anuar. 

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Voon Loi Koo @ Voon Fook Lai, 74, dengan memperdayanya menyerahkan cek berjumlah RM382,500 secara berperingkat.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya secara berasingan di pejabat syarikat tersebut pada Mei, Julai, Ogos, Oktober, November dan Disember 2020 serta pada Januari dan Mac 2021. 

Mangsa dilaporkan menyerahkan wang berkenaan kepada tertuduh dengan tujuan membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia bagi syarikat pembinaan milik mangsa yang terletak di Jalan Rock.

Sehubungan itu, kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh dalam pada itu dibenarkan bebas dengan ikat jamin tunai berjumlah RM32,000 berserta seorang penjamin tempatan bagi kesemua pertuduhan dihadapinya.

Mahkamah juga menetapkan kes disebut semula di tiga Mahkamah Majistret berasingan, masing-masing pada 3 September depan. 

Tertuduh beralamatkan di Tabuan Laru itu diwakili peguam Daniel Ling dan Jackson Ngu.

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin dan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

  • oleh
  • Advertisement