Anda di sini

Lans Koperal polis ditangkap disyaki terlibat penyalahgunaan dadah 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata anggota terbabit ditahan selepas saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, suspek yang bertugas di Balai Polis Kota Sentosa itu kemudian ditahan di lokap untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah sejak dua tahun lepas. Bagaimanapun buat masa ini, dia masih enggan mendedahkan dengan siapa dia berurusan dalam pembelian dadah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek berusia 31 tahun itu juga mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang masih menunggu perbicaraan.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

  • oleh
  • Advertisement