Anda di sini

Aaron-Wooi Yik akan berjuang habis-habisan

Advertisement
 Aksi regu lelaki negara, Aaron dan Wooi Yik menentang regu lelaki Kanada, Nyl Kiyoshi Yakura dan Jason Anthony Ho-Shue pada perlawanan peringkat kumpulan D pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza semalam. - Gambar Bernama
 Aksi regu lelaki negara, Aaron dan Wooi Yik menentang regu lelaki Kanada, Nyl Kiyoshi Yakura dan Jason Anthony Ho-Shue pada perlawanan peringkat kumpulan D pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza semalam. - Gambar Bernama

TOKYO: Pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik melaungkan amaran awal, apabila tekad untuk berjuang habis-habisan walaupun berdepan laluan berliku pada peringkat suku akhir Sukan Olimpik Tokyo, esok.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijadualkan bertemu pasangan nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia.

Aaron berkata beliau dan Wooi Yik akan menumpukan kepada strategi dan ramuan, untuk menewaskan gandingan dari Indonesia itu bersama jurulatih Flandy Limpele, dalam sesi latihan hari ini.

“Bagi saya di suku akhir, lawan siapa pun sama sajalah jadi tak kira lawan Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon atau lawan sesiapa lah, kita sudah fikir, dapat siapa, kita akan lakukan yang terbaik, dan melawan sehinga akhirnya,” katanya menerusi satu video di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Aaron-Wooi Yik, tidak pernah mengalahkan pasangan pilihan pertama Olimpik itu dalam tujuh pertemuan sebelum ini, sejak pertemuan pertama mereka pada Terbuka Malaysia 2018 sehingga pertemuan terakhir pada All England 2020.

Pasangan kesembilan terbaik dunia itu mara ke peringkat suku akhir Olimpik Tokyo, selepas menundukkan pasangan Jason Ho-Shue-Nyl Yakamura dari Kanada, 21-15, 21-13, pada Selasa dalam perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sports Plaza, Tokyo.

Mengulas mengenai aksi keseluruhan di peringkat kumpulan, Aaron berpuas hati dengan prestasi mereka serta mengakui mereka telah memberikan yang terbaik untuk setiap pertandingan.

“Saya rasa dalam peringkat kumpulan, memang boleh cakap puas hati untuk prestasi kita, walaupun kita di tempat kedua dekat dalam kumpulan D, tapi kita rasa okay lah,” tambahnya. - Bernama 

Advertisement