Anda di sini

Sarjan polis mengaku tidak bersalah minta dan terima rasuah RM5,000

Advertisement
Mohd Ameruddin mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen hari ini. - Gambar Bernama
Mohd Ameruddin mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen hari ini. - Gambar Bernama

KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan sejumlah RM5,000 dua tahun lepas

Mohd Ameruddin Yusoof, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya sendiri satu suapan iaitu wang tunai RM5,000 melalui seorang lelaki sebagai dorongan untuknya membebaskan dua kenalan lelaki itu yang ditangkap kerana memiliki ketum di Kampung Lembah Semerak, dekat Pasir Puteh, kira-kira 1 tengah hari, pada 1 April 2019.

Pertuduhan kedua pula, Mohd Ameruddin, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, didakwa menerima wang tunai berkenaan melalui lelaki yang sama di Bandar Baru Pasir Puteh, kira-kira 6.50 petang, pada tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17 (a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2019 yang memperuntukkan pemenjaraan sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali menawarkan jaminan sebanyak RM10,000, namun Mohd Ameruddin yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan dia menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia dua bulan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport serta tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan, dan menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Advertisement