Anda di sini

COVID-19 dan impaknya terhadap kesihatan mental di Malaysia

Advertisement
 

Oleh Siti Radziah Hamzah

ISU bunuh diri boleh dikatakan perkara tabu di negara ini dan amat jarang dibincangkan secara terbuka, namun peningkatan ketara kes itu merentasi semua kaum mutakhir ini yang diyakini ada kaitan dengan pandemik COVID-19, menuntut semua pihak membuka mata.  

 Apatah lagi tidak ada tanda-tanda penularan pandemik itu akan reda dalam masa terdekat sedangkan sebahagian besar rakyat kini semakin lesu upaya untuk terus mendepani cabaran yang dibawa COVID-19 sejak awal tahun lepas, khususnya membabitkan kelangsungan hidup mereka.

“Pandemik ini menyebabkan sebahagian daripada kami menghadapi kesukaran untuk kekal stabil dari segi emosi kerana beban mental yang dipikul semakin bertambah,” kata SIUMAN, satu jaringan rakan sekutu dan pesakit yang sedang menjalani rawatan kesihatan mental di negara ini. 

Sebahagian daripada mereka juga pernah cuba menamatkan riwayat hidup.

SIUMAN terbentuk sebagai satu kumpulan yang menawarkan sokongan moral kepada sesama sendiri, namun sejak Jun lepas, ia memanfaatkan laman Twitter untuk mendidik masyarakat tentang kesihatan mental selepas menyedari isu itu semakin meningkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 pada awal tahun ini bagi mengekang penularan COVID-19. 

Jaringan tersebut yang turut memperjuangkan kesaksamaan sosioekonomi dan politik, berkata keadaan bertambah buruk apabila akses kepada perkhidmatan kesihatan mental sukar diperoleh disebabkan sistem penjagaan kesihatan negara kini semakin kritikal akibat menanggung beban COVID-19.

STATISTIK KES BUNUH DIRI  

Eksekutif Kanan Unit Dasar Masyarakat, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Vaisnavi Mogan Rao berkata pengurusan pandemik dan sosioekonomi merupakan kunci dalam menangani ketidaktentuan sosioekonomi rakyat.

Beliau bersetuju lonjakan kes bunuh diri kebelakangan ini berkolerasi dengan kadar lesu upaya yang dialami masyarakat dalam tempoh enam bulan lepas.  

“Lebih ramai yang berisiko mengambil jalan singkat ini jika kempen yang bersesuaian tidak dilaksanakan dan kapasiti perkhidmatan kesihatan mental merentasi komuniti tidak dipertingkat,” katanya kepada Bernama.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, Malaysia merekodkan 468 kes bunuh diri dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 631 kes sepanjang tahun lepas.

Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 336 kes bunuh diri dilaporkan oleh pihak polis, atau secara purata kira-kira empat kes bunuh diri dilaporkan berlaku setiap hari dalam tempoh berkenaan. 

Dalam pada itu, SIUMAN dalam e-mel kepada Bernama, menekankan kepentingan keazaman politik dalam kalangan pemimpin negara bagi menyelesaikan isu bunuh diri secara total.

Sekadar mengadakan talian sokongan moral dan hospital tidak cukup untuk menangani masalah kesihatan mental yang berpunca daripada tekanan hidup, katanya yang menggesa kerajaan mewujudkan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan bagi menggubal dasar dan melaksanakan perubahan perundangan.

Bersetuju dengan gesaan itu, Vaisnavi berkata data yang terkumpul perlu dikongsikan dengan pihak yang berkenaan termasuk badan bukan kerajaan, bagi membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar isu tersebut dan seterusnya membantu kerajaan melaksanakan strategi pencegahan bersasar.

BUNUH DIRI BOLEH DICEGAH

Sebahagian besar kes bunuh diri sebenarnya boleh dicegah, kata  Dr Chua Sook Ning, pengasas Relate Malaysia, sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada 2015, dengan fokus utama pada penyediaan perkhidmatan, pendidikan, latihan dan advokasi berkaitan kesihatan mental.  

Chua berkata semakan intervensi pencegahan bunuh diri pada 2020 mendapati intervensi yang dilakukan berjaya mengurangkan jumlah kes bunuh diri yang “berjaya” dan cubaan bunuh diri.

“Pakar kesihatan mental bersetuju pandemik ini akan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental masyarakat.

“Lagi lama masyarakat mengalami tekanan perasaan, lagi banyak masa dan sokongan yang diperlukan oleh mereka untuk pulih,” katanya yang mencadangkan agar kerajaan meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan kesihatan mental bagi memahami serta membangunkan strategi pencegahan dan rawatan intervensi, khususnya ketika negara berdepan krisis.

NYAHJENAYAH BUNUH DIRI 

Malaysia antara segelintir negara yang memperuntukkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah, dan undang-undang sedia ada membolehkan seseorang yang disabitkan kesalahan itu dihukum penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Di sebalik gesaan beberapa pihak termasuk SIUMAN sendiri agar perbuatan itu dinyahjenayah, ada pihak lain, kebanyakannya daripada golongan konservatif, menghujahkan bahawa perbuatan tersebut adalah berdosa dan  “menghalalkannya” akan membawa kepada lebih banyak kejadian bunuh diri.

Menolak pandangan itu, SIUMAN berkata kesaksamaan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat merupakan langkah yang lebih berkesan bagi menangani isu bunuh diri.  

“Apa yang kerajaan boleh lakukan untuk jangka pendek ialah mengisytiharkan penangguhan penguatkuasaan peruntukan berkaitan cubaan bunuh diri dalam Kanun Keseksaan,” kata kumpulan itu yang mengakui reformasi perundangan akan mengambil masa.

Pada Februari 2020, Majlis Peguam Malaysia pernah memohon kerajaan memberikan pengampunan kepada mereka yang disabitkan dan dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang berkaitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Mengulas perkara itu, Chua berkata nyahjenayah bunuh diri disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan kebangsaan.

Namun katanya langkah pencegahan semata-mata tidak memadai.

Justeru, Relate Malaysia bekerjasama dengan mereka yang pernah melalui pengalaman tersebut bagi memahami stigma yang menyusuli kejadian bunuh diri dan cubaan bunuh diri, selain hakikat golongan itu menerima layanan buruk apabila tampil meminta bantuan.  

“Bukan belas kasihan yang diterima, sebaliknya mereka dimalukan dan dipersalah atas tekanan perasaan yang dialami. Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu mengakui sikap prejudis serta diskriminasi ini dan seterusnya mengubah sikap itu sekiranya kita serius mahu mengurangkan kadar kejadian bunuh diri di Malaysia,” katanya.

INTERVENSI SECARA AGAMA

Pada akhir bulan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang mempersiap 160 pegawainya dengan kemahiran psikospritual, bimbingan dan ilaj syarie (rawatan Islam) untuk ditempatkan di hospital di seluruh negara bagi menangani kes kemurungan. 

Katanya perkhidmatan akan diperluas ke agensi lain di bawah Kementerian Kesihatan bagi menangani isu kemurungan dalam kalangan pesakit dan petugas hospital, sama ada disebabkan oleh COVID-19 mahupun isu lain.

Namun, SIUMAN berpandangan sistem penjagaan kesihatan harus dikekalkan dalam konsep sekular melainkan pesakit sendiri mahukan bimbingan kerohanian.

Vaisnavi pula berpendapat pegangan agama boleh menjadi pelindung terhadap pemikiran negatif dan penempatan pegawai terlatih di hospital boleh membantu meningkatkan akses kepada sokongan agama bagi individu yang menginginkannya.

Pada masa sama katanya langkah itu boleh menampung kekurangan pakar kesihatan mental di negara ini, khususnya dalam sistem kesihatan awam.

Beliau turut mengesyorkan kerajaan mengambil lebih ramai ahli psikologi daripada sektor swasta untuk digemblengkan dalam situasi semasa. 

“Kerajaan juga boleh melaksanakan latihan pertolongan awal untuk kesihatan mental secara percuma bagi memastikan lebih ramai individu dalam sesebuah komuniti mempunyai kemahiran bagi memberikan bantuan terhadap mereka yang menunjukkan kecenderungan membunuh diri atau kemerosotan kesihatan mental,” katanya. - Bernama 

Advertisement