Anda di sini

Beli loteri awam di gerai buah-buahan, pemuda didenda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda berusia 22 tahun didenda RM1,500 atau penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membeli loteri haram.

Lai Foh Siang yang bekerja sendiri itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali, sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.  

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membeli loteri haram di sebuah gerai buah-buahan di Pasar Matang Jaya, kira-kira jam 4.40 petang pada 26 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis menyerbu gerai tersebut yang disyaki menjalankan judi awam haram tanpa lesen.

Hasil pemeriksaan juga membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti itu, susulan terdapat paparan menunjukkan angka-angka disyaki loteri haram pada telefon berkenaan.

Analisa dijalankan oleh Pakar Judi juga mendapati paparan tersebut menunjukkan satu pembelian loteri haram lengkap.

Selain telefon bimbit, turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM3,450 dan sebuah beg.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement