Anda di sini

Bekas ketua penolong pegawai daerah didakwa terima suapan

Advertisement
 

JOHOR BAHRU: Seorang bekas ketua penolong pegawai daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima suapan daripada seorang individu bagi pelaksanaan kerja projek bantuan rumah negeri Johor tahun lepas.

Tertuduh Nazri Izuddin Madon, 37, (gambar) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Nazri telah secara rasuah memperoleh satu suapan RM10,000 sebagai dorongan bagi tertuduh untuk melantik syarikat-syarikat bagi melaksanakan kerja projek bantuan rumah negeri Johor dalam daerah Segamat bagi 2020.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Daerah Segamat kira-kira 2.45 petang pada 19 Okt tahun lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Rahim Ali.

Terdahulu, Lim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor setiap bulan.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM7,000 berikutan tertuduh, yang masih berkhidmat di sebuah agensi kerajaan negeri di sini, menanggung dua anak dengan seorang daripadanya mempunyai penyakit ekzema.

Malah, isterinya terpaksa bercuti sementara bagi memberi tumpuan menjaga anak mereka selain Nazri sendiri mempunyai mempunyai masalah penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Ogos ini bagi penyerahan dokumen. - BERNAMA

Advertisement