Anda di sini

Merompak kerana nak beli susu dan lampin 

Advertisement
 

KUCHING: Saya merompak kerana terdesak hendak membeli susu dan lampin sebelum Hari Raya Aidiladha, demikian menurut rayuan seorang penganggur yang mengaku bersalah melakukan rompakan dan seterusnya dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Hakim Afidah Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan, ia bukannya alasan bagi tertuduh, Hazrol Hanizam Haziman, 23, untuk melakukan perbuatan tersebut.

Menurut Afidah, terdapat pelbagai cara boleh dilaksanakan untuk mencari wang dan merompak bukanlah salah satu daripadanya.

“Sehubungan itu, setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Julai 2021 dan tertuduh juga dikenakan tiga sebatan,” ujar Afidah semasa prosiding. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. 

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Sibu itu didakwa merompak Halimah Temu, 54, dalam satu kejadian pada 16 Julai lalu, jam lebih kurang 1.40 tengah hari di Jalan Tupong, di sini. 

Tertuduh dilaporkan mengambil beg tangan mangsa yang berisi kad pengenalan, kad ATM, kad vaksinasi, wang tunai berjumlah RM12,600 dan sebuah telefon pintar. 

Mangsa bagaiamanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Hasil siasatan mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian yang merakam perbuatan tertuduh. 

Mangsa juga mengenali tertuduh, selain berjaya mengecam pakaian, motosikal serta topi keledar digunakan tertuduh pada hari kejadian. 

Justeru, antara barangan yang dirampas dan dijadikan bahan kes adalah pakaian, topi keledar, motosikal, sebuah beg dan wang tunai berjumlah RM554.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar dikenakan hukuman paling minimum atas alasan dia terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana terdesak hendak membeli lampin serta susu. 

“Saya juga mempunyai dua orang adik beradik orang kurang upaya (OKU) dan turut menanggung ibu saya yang mempunyai masalah kesihatan. 

“Saya berasa sangat menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut,” ujar tertuduh yang menangis ketika mengemukakan rayuan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement