Anda di sini

Masuk negara tanpa permit sah, enam warga Indonesia dipenjara

Advertisement
 

KUCHING: Enam lelaki warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan dikenakan satu sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan kesalahan masuk ke Malaysia tanpa permit sah. 

Hakim Afidah Abdul Rahman menetapkan demikian setelah kesemua tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta sama. 

Tertuduh berusia dalam lingkungan 20an hingga lewat 40an itu terdiri daripada Hamidi Hamdan, Gustian, Misno Bujang, Effendi Hasan, Gusti Wijaya Abdan dan Maludi Asnawi. 

Kesemua mereka didakwa secara bersama melakukan perbuatan tersebut pada 23 Jun lalu, jam lebih kurang 6.30 petang semasa berada di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Datuk Bandar Abang Mustapha, di sini. 

Mengikut fakta kes, semasa SJR bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan di sana, pihak polis menahan sebuah van dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan dan dinaiki oleh keenam-enam tertuduh.

Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua tertuduh merupakan warga Indonesia yang mempunyai dokumen perjalanan diri (pasport).

Semakan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap rekod pergerakan kesemua tertuduh bagaimanapun mengatakan mereka telah melapor keluar melalui pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu / Biawak pada bulan Mac serta April tahun lalu. 

Namun, tiada rekod masuk selepas tarikh tersebut dan kesemua tertuduh seterusnya didakwa melakukan kesalahan masuk ke negara tanpa permit sah. 

Sementara itu di Mahkamah Majistret, keenam-enam tertuduh dan pemandu kenderaan tersebut juga masing-masing didenda RM800 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar kerana menaiki kenderaan melebihi dua orang pada satu masa semasa PKP 3.0.

Pemandu kenderaan tersebut iaitu Hii How Hing berusia dalam lewat 20an dan kesemua tertuduh lain, masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi. 

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut dalam kejadian sama dan seterusnya didakwa mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (no.3) Peraturan 2021. 

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement