Anda di sini

Kes pengubahan wang haram RM9.22 juta bekas ADUN Batu Maung dipindah ke Mahkamah Butterworth

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Datuk Mansor Musa yang menghadapi 58 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.22 juta di sini akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Butterworth, bersama dengan 106 pertuduhan lain membabitkan lebih RM11 juta.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah Butterworth. 

"Pertuduhan dihadapi tertuduh di mahkamah di sini adalah berkaitan dengan pertuduhan dihadapinya di Pulau Pinang. Memandangkan peguam tiada bantahan, mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth,” kata Rozina dan menetapkan  28 Sept untuk sebutan semula kes di mahkamah Butterworth. 

Pada 13 Julai, Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 106 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai lebih RM11 juta antara September 2011 dan Ogos tahun lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muhammad Asraf Mohamed Tahir memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan itu dibuat atas alasan ia melibatkan saksi dan dokumen yang sama dengan kes dihadapi tertuduh di Pulau Pinang. 

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mansor tidak membantah permohonan itu. 

Pada 15 Julai, Mansor, 58, yang juga Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad mengaku tidak bersalah atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.22 juta. 

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-42, Mansor didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram untuk pembelian saham, rumah dan pembayaran kepada kontraktor melalui syarikat yang berbeza.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-43 hingga ke-58, dia didakwa menerima, mengguna dan memindahkan wang dari sebuah syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. 

Pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Starpac Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini, antara Disember 2008 hingga Mei 2015. - BERNAMA

Advertisement