Anda di sini

Gandingan mantap beri sinar pada acara seni negara

Advertisement
NOOR ZARI
NOOR ZARI

KUALA LUMPUR: Karya seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak jemu-jemu diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat namun melalui acara Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P. Ramlee, seniman agung itu diangkat sebagai pemuisi legenda melalui puisi dan lagu persembahan tokoh bahasa, persuratan, perfileman dan personaliti hiburan tanah air.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Dr. Noor Zari Hamat berkata, gandingan mantap itu bakal memberi sinar kepada acara seni negara, lebih-lebih lagi program kali ini memfokuskan figura serba boleh yang dikenali daripada generasi ke generasi sekalipun kepada mereka yang tidak hidup sezaman dengan Allahyarham.

NAJUA P RAMLEE
NAJUA P RAMLEE

“Lagu-lagu gubahannya diminati ramai sehingga muncul klon P.Ramlee di seluruh negara, namun P.Ramlee hanya seorang. Sehingga kini masih tiada ganti. ‘Di mana kan kucari ganti serupa denganmu’. Ini antara bait lagu yang sering mengusik indera dengar kita. 

“Dalam konteks ini, saya melihat program untuk mengangkat Seniman Agung ini sebagai Pemuisi Legenda adalah sesuai dan tepat kerana sifat kesenimanan Allahyarham tiada tolok bandingnya,” katanya ketika merasmikan acara yang julung-julung kali dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), MOTAC, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) semalam.

Beliau berkata, pemerhatian P. Ramlee terhadap alam dan karenah manusia sentiasa menjentik ilham beliau untuk menghasilkan karya yang menarik, bermutu dan penuh dengan nilai seni malah tersurat aneka  pengajaran sekalipun ditulis dalam nada sindiran dan jenaka. 

AWIE
AWIE

Noor Zari turut mencuit tumpuan pelayar Facebook apabila  menyampaikan puisi bertajuk ‘Legenda Sepanjang Zaman’ karya Dr. Lim Swee Tin.

Malam Puisi Getaran Jiwa Tan Sri P. Ramlee disiarkan secara langsung selama dua jam mulai pukul 9.00 malam menerusi Facebook DBP, PEMUISI BERKARYA dan FDAM.

Pelayar Facebook turut dihiburkan dengan komedi spontan oleh pengacara berwajah seiras seniman legenda itu, Musly Amir Mohamed Ramli atau terkenal dengan nama pentasnya Musly Ramlee.

Acara itu turut dijayakan oleh Penaung PEMUISI Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Naib Canselor ke-8 Universiti Malaya Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob, Presiden PEMUISI Datuk Dr. Radzuan Ibrahim dan Presiden FDAM Dr. Ahmad Ibrahim.

DR RADZUAN
DR RADZUAN

Penyanyi rock Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, Timbalan Presiden FDAM yang juga pengarah filem Datuk Zulkeflie M. Osman dan cucu seniman agung itu, Najua P. Ramlee juga mengejutkan penonton dengan persembahan puisi dan lagu popular P. Ramlee.

Awie yang berbusana pahlawan Melayu lengkap dengan keris mendeklamasikan puisi adaptasi daripada filem Hang Tuah bertajuk ‘Taming Sari Jadi Saksi’ karya Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman serta lagu ‘Madu Tiga’.

Zulkeflie M. Osman yang muncul dalam video hitam putih membacakan puisi ‘Hancur Badan Dikandung Tanah’ (Ragam P. Ramlee) manakala Najua P. Ramlee pula tampil dengan persembahan memukau menerusi lagu ‘Tunggu Sekejap’ (Sarjan Hassan).
 

Advertisement