Anda di sini

Bicara kes saman kerajaan negeri terhadap Soon Koh bermula hari ini

Advertisement
Wong keluar dari Kompleks Mahkamah Sibu ketika perbicaraan kes saman terhadap beliau ditangguhkan tengah hari tadi.
Wong keluar dari Kompleks Mahkamah Sibu selepas perbicaraan kes saman terhadap beliau ditangguhkan tengah hari tadi.

SIBU: Perbicaraan kes saman kerajaan negeri terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berhubung kenyataannya mengenai isu Petronas telah bermula di Mahkamah Tinggi Sibu, hari ini.

Kerajaan negeri yang diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato Sri J.C Fong menamakan Wong sebagai defendan serta menuntut RM5 juta kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah itu.

Sementara Wong yang juga Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) diwakili oleh peguam George Lo & Co serta Clement Wong & Co ketika perbicaraan di hadapan Persuruhjaya Kehakiman Christopher Chin Soo Yin.

Dalam prosiding awal hari ini, peguam George Lo mempertikaikan pembabitkan Dato Sri J.C Fong dalam kes tersebut mewakili kerajaan negeri.

Ini kerana katanya, Penasihat Undang-Undang Negeri itu terlibat secara terus dalam perjanjian penyelesaian komersial bersama antara kerajaan negeri dan Petronas pada 7 Disember 2020. 

Sehubungan itu, Lo mahu Dato Sri J.C Fong digugurkan daripada kes. Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh mahkamah. 

Sementara Datuk Seri J.C Fong ketika ditemui media selepas perbicaraan ditangguhkan tengah hari tadi berkata, beliau tidak akan mengundurkan diri.

"Dalam percubaan terakhir pihak defendan, mereka mengatakan yang saya tidak layak mewakili kerajaan negeri.

"Mereka mahu menyingkirkan saya kerana saya mungkin berpotensi menjadi saksi. Saya cabar mereka untuk menghantar sepina," ujarnya.

Wong sebelum ini mengeluarkan kenyataan mempersoalkan berhubung perjanjian bersama yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas.  
 
Bekas Menteri Kewangan Kedua itu mempersoalkan bayaran RM2 bilion oleh Petronas kepada kerajaan negeri sedangkan Ketua Menteri ketika membentangkan bajet negeri mengatakan Petronas harus membayar RM3.897 bilion.

Beliau turut mempersoalkan mengenai tindakan kerajaan negeri yang bersetuju mengurangkan cukai jualan negeri (SST) 5 peratus bagi produk petroleum secara berperingkat.

Di samping itu, Wong turut mempersoalkan tindakan kerajaan memperakui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 berbanding dengan pendirian sebelum ini, yang memberi kuasa kepada Petronas dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Wong ketika ditemui pemberita hari ini memberitahu beliau tidak menyesal mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri itu.

"Saya tidak menyesal mengeluarkan kenyataan itu dalam media kerana saya berbuat demikian bagi mewakili rakyat Sarawak.

"Cukai jualan ini membabitkan pendapatan dan pendapatan ini adalah wang rakyat. Sebagai wakil rakyat saya mewakili rakyat dan bertanggungjawab menyuarakannya. 

"Apa yang saya persoalkan ini tidak hanya memberi kesan kepada generasi hari ini tetap generasi akan datang. Oleh itu saya tidak menyesal," jelasnya.
  
Perbicaraan kes akan disambung esok.

  • oleh
  • Advertisement