Anda di sini

Bekas pengetua mengaku tidak bersalah cabul tiga kakitangan

Advertisement
 
KUALA BERANG: Seorang bekas pengetua sekolah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan mencabul tiga kakitangan wanita.

Aminuddin Jusoh, 53, didakwa melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi termasuk koridor dan bilik makmal sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu antara Januari hingga Februari lepas.

Tertuduh yang kini bertugas di sebuah jabatan kerajaan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh diwakili peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin. - BERNAMA

Advertisement