Anda di sini

Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 4.20-4.22 berbanding Dolar AS minggu depan

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 4.20 dan 4.22 minggu depan, dipengaruhi peningkatan berterusan kes COVID-19 di negara ini dan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata tumpuan utama pasaran pada minggu depan adalah mesyuarat dasar Fed AS selama dua hari yang dijadualkan berakhir pada Khamis.

“Mesyuarat terakhir telah diadakan pada 16 Jun yang mana pegawai Fed AS berkata COVID-19 akan melembapkan ekonomi dan dalam tempoh itu, kes telah meningkat akibat varian Delta.

“Bagaimanapun, pasaran masih berharap mesyuarat itu akan menghasilkan sedikit penambahbaikan dalam perbincangan untuk mengurangkan rangsangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, terdahulu AS juga telah memacu vaksinasi yang kukuh dan diharap dapat membendung penularan varian Delta secara lebih meluas.

“Jika ini berlaku, kami jangka indeks dolar akan meningkat dan pada akhirnya menyebabkan penyusutan ringgit,” katanya.

Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi COVID-19 setakat ini, pada Jumaat iaitu 15,573 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 980,491 kes.

Sebelum ini, angka harian tertinggi kes baharu adalah 13,215 pada 15 Julai 2021.

Sementara itu, pada Jumaat Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 123.2 pada Jun 2021 berbanding 119.1 pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Memandangkan IHP bagi Jun meningkat 3.4 peratus, lebih perlahan berbanding kenaikan 4.4 peratus pada Mei, pertumbuhan inflasi yang lebih rendah bermaksud ekonomi tidak berkembang, justeru, akan mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih,” kata Adam.

Beliau berkata, data eksport Malaysia bagi Jun 2021 yang akan dikeluarkan pada Rabu depan dijangka merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun meskipun pada kadar perlahan dalam keadaan penurunan kesan asas rendah.

Berasaskan mingguan, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.2255/2275 daripada 4.2040/2070 pada minggu sebelum ini.

Unit tempatan rendah berbanding mata wang utama lain melainkan pound Britain yang meningkat kepada 5.8054/8082 daripada 5.8129/8170 pada minggu sebelum ini.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1070/1089 daripada 3.1053/1078 pada minggu sebelum ini, turun berbanding euro kepada 4.9726/9749 daripada 4.9687/9723 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.8254/8275 daripada 3.8180/8207.- BERNAMA
 

Advertisement