Anda di sini

Suami isteri didakwa edar 960 gram kanabis

Advertisement
 

KUCHING: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 960 gram, dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Dayang Norliza Abang Ai-weda, 31 dan Mohamad Zaiwawi Hanafiah Zaidan, 34, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Pendaftar Mahkamah Morni Lita Mokhtar yang menggantikan Majistret Zubaidah Sharkawi. 

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 30 Ogos depan sementara menunggu laporan kimia. 

Suami isteri tersebut diperintahkan untuk direman lanjut sehingga tarikh berikutnya. 

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 960 gram di sebuah rumah di Pending Heights, di sini, pada 9 Julai lalu, jam 11.15 pagi. 

Media sebelum ini melaporkan kanabis tersebut ditemui di dalam 13 bungkusan plastik yang disimpan di dalam satu kotak polisterin di dalam rumah tersebut.

Sehubungan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama. 

Sabit kesalahan, suami isteri tersebut boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala pasangan tersebut tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement