Anda di sini

Bursa Malaysia akhiri dagangan minggu ini dengan prestasi rendah

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia mencatatkan prestasi tidak banyak berubah semasa mengakhiri dagangan minggu ini apabila ditutup rendah pada Jumaat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 4.18 mata atau 0.27 peratus untuk ditutup pada 1,523.44 daripada 1,527.62 pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 0.59 mata lebih tinggi kepada 1,528.21 sebelum bergerak di antara 1,523.16 dengan 1,529.65 sepanjang sesi dagangan pada Jumaat.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 559 berbanding 443, manakala 432 kaunter tidak berubah, 802 kaunter tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.41 bilion unit bernilai RM3.21 bilion daripada 5.19 bilion unit bernilai RM2.98 bilion pada Khamis.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maxis menambah satu sen kepada RM4.39, Top Glove naik empat sen kepada RM4.14, Public Bank dan Axiata masing-masing tidak berubah pada RM4.02 dan RM3.87, sementara Maybank dan TNB masing-masing turun satu sen kepada RM8.03 dan RM9.73 manakala Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM8.05.

Antara saham aktif, waran PAOS meningkat 3.5 sen kepada 10.5 sen, KYM melonjak 15.5 sen kepada 64 sen, Globaltec menokok 3.5 sen kepada 71.5 sen, Serba Dinamik naik setengah sen kepada 43 sen dan Pasukhas kurang setengah sen kepada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 10.27 mata kepada 11,178.13; Indeks FBMT 100 kurang 15.14 mata kepada 10,872.62 namun FBM ACE menambah 41.07 mata kepada 7,423.23.

Indeks FBM Emas Syariah naik 3.17 mata kepada 12,325.16 dan FBM 70 menokok 36.71 mata kepada 14,721.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 39.58 mata kepada 14,844.93; Indeks Perladangan naik 0.07 mata kepada 6,243.54 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri turun 0.24 mata kepada 189.87.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.19 bilion saham bernilai RM2.48 bilion daripada 2.91 bilion saham bernilai RM2.41 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 291.02 juta unit bernilai RM31.28 juta daripada 387.83 juta unit bernilai RM38.71 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 1.93 bilion saham bernilai RM691.79 juta daripada 1.89 bilion saham bernilai RM527.94 juta pada Khamis.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 843.08 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (1.14 bilion), pembinaan (92.87 juta), teknologi (402.84 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.74 juta), hartanah (181.51 juta), perladangan (24.10 juta), REIT (8.53 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (215.63 juta), penjagaan kesihatan (78.78 juta), telekomunikasi dan media (29.27 juta), pengangkutan dan logistik (116.06 juta) serta utiliti (12.46 juta). - BERNAMA

Advertisement