Anda di sini

X-Terrain lasak selesa, pelengkap keperluan keluarga

Advertisement
 Varian X-Terrain dengan gagahnya hebat meredah banjir ketika satu tugasan di Membakut.
HEBAT: Varian X-Terrain dengan gagahnya hebat meredah banjir ketika satu tugasan di Membakut.


# Duduk di dalamnya bagaikan kita berada dalam sebuah kenderaan kelas mewah atau kenderaan sporty

DUDUK memandu dalam X-Terrain bagaikan kita berada dalam sebuah studio mini.


Apa tidaknya, sistem muzik pada infotainment skrin sentuh berukuran  sembilan inci sungguh mengasyikkan. Ditambah pula aplikasi digital, semua sistem dikawal mudah di hujung jari pada pemegang stereng.
Dengan ruang luas yang kedap bunyi, setiap alunan muzik dapat dihayati tanpa gangguan. Ini menjadikan pemanduan tidak terasa letihnya biarpun jarak jauh ratusan kilometer.


Malah, penggunaan material `Anti Vibration Elastic Comfort Foam' pada tempat duduk, menjadikan kita cukup selesa dalam pemanduan sambil menikmati hiburan lagu-lagu kegemaran bagi menjadikan perjalanan lebih indah.

 Isuzu D-Max X-Terrain parkir di hadapan Masjid Al-Taqwa Keningau, untuk satu tugasan di pedalaman Sabah.
MENARIK: Isuzu D-Max X-Terrain parkir di hadapan Masjid Al-Taqwa Keningau, untuk satu tugasan di pedalaman Sabah.


Tempat duduk ini sangat selesa bagi jalan-jalan tidak rata atau berbatu kerikil kerana ia mengurangkan gegaran ketika memandu.


Inilah dapatan saya pada  X-Terrain, varian terbaharu Isuzu D-Max, ketika berkesempatan memandu uji di Sabah baru-baru ini. Bagi saya, inilah model yang melengkapkan keperluan golongan pengguna, baik di bandar mahupun desa.


Saya katakan demikian kerana varian ini dilengkapi ciri-ciri gaya hidup `urban' tanpa melupakan kelasakannya sebagai pacuan empat roda untuk memenuhi keperluan `rural' yang jalannya pasti lasak dan mencabar.


Saya memandu X-Terrain mendaki Banjaran Crocker, melewati empat daerah - Kota Kinabalu, Penampang, Tambunan dan Keningau - kemudian membawanya meredah banjir dalam satu tugasan di Membakut, Beaufort.

 Model terbaharu Isuzu D-Max X-Terrain singgah di sebuah restoran di Gunung Alab, di puncak Banjaran Crocker, ketika dalam perjalanan merentas empat daerah.
MERENTAS BANJARAN CROCKER: Model terbaharu Isuzu D-Max X-Terrain singgah di sebuah restoran di Gunung Alab, di puncak Banjaran Crocker, ketika dalam perjalanan merentas empat daerah.

Ternyata dalam pemanduan ini, X-Terrain meluncur gagah tanpa mengecewakan. Hebat dan luar biasa, yang pasti menjadi kelebihan mengatasi pesaing sekelas dengannya.


Sahabat media, Johny, yang bersama-sama saya merentasi Banjaran Crocker, sungguh teruja dengan kelasakan X-Terrain sebagai model pacuan empat roda bergaya mewah engan ciri-ciri moden yang dipertingkatkan.


Baginya, bahagian dalaman X-Terrain bagaikan model kenderaan ala SUV atau MPV dan ia menjadi pelengkap keperluan seisi keluarga.


Secara peribadi, saya amat tertarik dengan bahagian dalaman X-Terrain ini. Kita akan berasa selesa dan aman, kerana duduk di dalamya bagaikan kita berada dalam sebuah kenderaan kelas mewah atau kenderaan sporty.
 

 Pemandangan bahagian dalam Isuzu D-Max X-Terrain dengan penggunaan warna coklat gelap yang unik,  cukup sesuai dengan gaya keseluruhan trak pikap ini.
MENARIK: Pemandangan bahagian dalam Isuzu D-Max X-Terrain dengan penggunaan warna coklat gelap yang unik,  cukup sesuai dengan gaya keseluruhan trak pikap ini.


Penggunaan bahan sentuh lembut pada bahagian atas papan pemuka dan trim pintu menaikkan imej varian D-Max terbaru ini. Malah, penggunaan warna coklat gelap yang unik untuk varian X-Terrain ini cukup sesuai dengan gaya keseluruhan trak pikap ini.


Selain itu, ciri lain yang menarik termasuk kluster instrumen e-LUMAX dengan paparan pelbagai maklumat 4.2-inci (MID), cermin pandangan belakang yang redup secara automatik, dan tempat duduk pemandu yang boleh dilaras kuasa 8-arah.


Tidak syak lagi, X-Terrain menjadi jawapan kepada pelbagai kehendak dan persoalan pengguna, khususnya di Sabah, untuk semua peringkat dan golongan.


Model ini sesuai dibawa untuk bersantai dan berkelah di hujung minggu, balik kampung atau membeli-belah di bandaraya.


Tidak hairanlah apabila ia terus mendapat sambutan hangat selepas dilancarkan di Kuala Lumpur pada 26 April lepas.

 Tempat duduk belakang Isuzu D-Max X-Terrain yang cukup selesa dan luas.
SELESA: Tempat duduk belakang Isuzu D-Max X-Terrain yang cukup selesa dan luas.

Ketika pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura, berkata varian terbaharu itu dihasilkan oleh para jurutera Isuzu untuk memastikan ia tetap  berkeupayaan tinggi serta boleh diharap sepanjang masa, dalam apa juga situasi.


"Jurutera Isuzu telah menghasilkan sebuah jentera yang lebih teguh, tahan lasak dan boleh diharap melalui model terbaharu ini.


"Mereka menghabiskan banyak masa untuk membangunkannya dan telah menjalankan lebih empat juta kilometer ujian ke atasnya bagi memastikan ia mampu mencapai tahap terbaik yang pernah dicapai oleh model Isuzu D-Max.


"Mereka kemudiannya menambah pula bahagian permukaan lembut dan ciri berteknologi tinggi bertujuan melengkapi keperluan pengguna yang sentiasa inginkan tahap keselesaan seperti yang terdapat dalam sesebuah kenderaan moden," katanya.


Memasuki segmen trak pikap gaya hidup peringkat tertinggi dengan varian X-Terrain, Isuzu D-Max flagship terbaru ini menggunakan enjin 3.0 liter yang telah dipertingkat beberapa perkara untuk memberikan prestasi serta maklum balas enjin yang lebih baik dan dalam masa yang sama, mengurangkan gegaran dan bunyi bising.

 Sistem stereng Isuzu D-Max X-Terrain yang dilengkapi pelbagai punat untuk memudahkan pemandu.
CANGGIH: Sistem stereng Isuzu D-Max X-Terrain yang dilengkapi pelbagai punat untuk memudahkan pemandu.


Enjin baru ini menjana 190 PS, membolehkan X-Terrain dipandu bersahaja dengan prestasi mengkagumkan serta lekuk tork yang telah diberi kemaskini, membekalkan maksimum 450 Nm dari serendah 1,600 rpm, dilanjutkan sehingga 2,600 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear automatik baru enam-kelajuan yang cekap.


Dibina atas platform Dynamic Drive Isuzu sendiri, Isuzu D-Max serba baharu memanfaatkan ladder frame baru yang menawarkan lebih ketahanan untuk memastikan pengendalian dan kelasakannya sentiasa cemerlang.


Ditambah dengan talaan suspensi baru serta jarak antara roda lebih panjang yang membolehkan blok enjin diposisikan lebih ke belakang roda depan, ini membolehkan pengendalian lebih dinamik dicapai di samping memberikan keselesaan berterusan.


Disudahi dengan bergaya melalui warna badan Valencia Orange atau Sapphire Blue, X-Terrain datang dengan ciri eksklusif termasuk penghidup enjin jarak jarak jauh, kunci differential belakang, sistem pengilap basah, kerusi balutan kulit coklat dengan larasan lapan-hala dan sokongan lumbar, skrin sentuh infotainmen 9-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta kelengkapan keselamatan maju Advanced Driver Assist Systems (ADAS) yang merangkumi amaran perlanggaran depan (FCW), brek kecemasan autonomous (AEB), amaran penukaran lorong (LDW), bantuan membelok, penghindaran salah operasi pedal, kawalan melayar adaptif (ACC) dengan fungsi Start/Stop, lampu tinggi automatik (AHB), peninjau titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), penghad kelajuan manual (MSL) dan brek multi-perlanggaran yang akan mengenakan brek sekiranya satu daripada tujuh beg udara digunakan.
 

 Sistem infotainment skrin sentuh Isuzu D-Max X-Terrain berukuran sembilan inci sungguh mengasyikkan apabila kita mendengar muzik.
INFOTAINMENT: Sistem infotainment skrin sentuh Isuzu D-Max X-Terrain berukuran sembilan inci sungguh mengasyikkan apabila kita mendengar muzik.

Varian X-Terrain datang dalam warna eksklusif Valencia Orange atau Sapphire Blue, sementara model lain ditawarkan dalam pilihan warna seperti Silky White Pearl, Mercury Silver, Onyx Black dan Splash White.


Semua model Isuzu D-Max menikmati jaminan lima-tahun atau 150,000 km, sementara X-Terrain pula diberikan jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan — ini adalah jaminan terbaik dalam kelas kenderaan trak pikap setakat ini.


Hakikatnya, X-Terrain pastinya menjadi pelengkap keperluan seisi keluarga, memenuhi pelbagai keadaan dan situasi muka bumi di Sabah yang berbatu kerikil, berbukit-bukau dan bergunung-ganang.


Kenderaan ini mudah untuk dikendalikan oleh siapapun, termasuk pemandu wanita remaja atau suri rumah kerana tidak rumit sebagaimana mungkin tanggapan dahulu mengenai sistem pacuan empat roda.


Memandu X-Terrain bagaikan kita mengendalikan kenderaan salon atau SUV lainnya. Yang membezakannya, hanya ketinggian saja, sebagaimana dalam varian terbaharu ini. Namun, ketinggian ini memberikan jarak kelegaan tanah minimum sebanyak 240 mm, 5 mm lebih tinggi daripada model terdahulu.


Kini X-Terrain sudah memasuki pasaran Sabah (dan juga Sarawak), menanti anda untuk membuat tempahan bila-bila masa.

  • oleh
  • Advertisement