Anda di sini

Warga asing dipenjara 4 Tahun, denda RM150,000 bunuh Penyu Hijau

Advertisement
 Nasdi dihukum penjara empat tahun dan denda RM150,000.
TERTUDUH: Nasdi dihukum penjara empat tahun dan denda RM150,000.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing dihukum penjara empat tahun dan denda RM150,000 selepas mengaku bersalah membunuh penyu di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Nasdi Bilnati, 18, didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Julai 2021 di perairan Pulau Omadal, dalam daerah Semporna, jam 12.30 tengah hari.

Mengikut pertuduhan, Nasdi didakwa bersama dua individu yang masih bebas memiliki 12 keping plastron (cengkerang), 39 keping sisik Marginal dan 4.8 kilogram lemak Penyu Hijau.

Kesemua organ haiwan yang ditemui itu telah disenaraikan sebagai haiwan dilindungi dalam Jadual 1, Bahagian 1, Enakmen Hidupan Liar 1997.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4) Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya menyedari kesalahan yang dilakukannya dan memohon dikenakan hukuman ringan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sylvester Saimin dalam hujahannya berharap tertuduh dikenakan hukuman berat kerana telah membunuh banyak penyu, spesis terancam dan dilindungi di Sabah.

Tambahnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tindakan perundangan termasuk hukuman berat telah dikenakan keatas pembunuh penyu di Semporna.

Bagaimanapun, hukuman berat itu tidak menghalang pihak berkaitan untuk terus mengulangi perbuatan sama dengan memburu dan membunuh haiwan berkenaan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun berkuatkuasa hari ini di penjara Sandakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan denda sebanyak RM150,000, gagal bayar penjara setahun.

Semua eksibit turut diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi tujuan perlupusan.

Advertisement