Anda di sini

Sorok dadah atas bumbung, empat termasuk seorang wanita ditangkap

Advertisement
Dadah yang dijumpai di atas bumbung.
Dadah yang dijumpai di atas bumbung.

KUCHING: Seramai empat individu termasuk seorang wanita ditangkap selepas disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dalam satu operasi di Matang, di sini tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata keempat-empat suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 35 tahun.

Menurutnya, turut ditemui dalam operasi sekitar jam 12.50 tengah malam itu ialah dadah disyaki syabu seberat kira-kira 6.01 gram.

"Serbuan dilakukan ke atas satu premis dipercayai bilik sewa suspek dan pemeriksaan awal mengesyaki kesemua suspek terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Hasil pemeriksaan ke atas semua suspek tidak menemui apa-apa barang salah, namun pasukan serbuan menjumpai beberapa paket kecil mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di atas bumbung luar tingkap," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, keempat-empat suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut.

"Hasil saringan awal kencing juga mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan benzo.

"Semakan juga mendapati semua suspek mempunyua rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB)," katanya.

Semua suspek lelaki kini ditahan reman sehingga 26 Julai  di lokap Balai Polis Siburan, manakala suspek wanita di lokap Balai Polis Beratok.

Siasatan polis dijalankan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.
 

  • oleh
  • Advertisement