Anda di sini

Sarawak lancar Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 

Advertisement
Abang Johari menerima buku Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion (kiri) selepas majlis pelancaran di sini.- Gambar UKAS.
Abang Johari menerima buku Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion (kiri) selepas majlis pelancaran di sini.- Gambar UKAS.

KUCHING: Sarawak hari ini melancarkan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dengan aspirasi masyarakat maju yang didorong oleh data dan inovasi untuk menikmati kemakmuran ekonomi, inklusif sosial dan persekitaran yang mampan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang melancarkan PCDS 2030 berkata, untuk itu Sarawak perlu menggandakan pertumbuhan ekonomi dari RM136 bilion pada tahun 2019 kepada RM282 bilion pada tahun 2030.

"Untuk mencapai sasaran ini, ekonomi Sarawak perlu berkembang pada kadar enam peratus hingga lapan peratus setahun. 

"Sarawak menyasarkan ekonomi yang berkembang pada kadar enam peratus kepada lapan peratus setahun dibawah fasa pertama PCDS yang dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu dari tahun 2021 hingga 2025," katanya dalam amanat khas sempena majlis pelancaran Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030)  di sini, hari ini. 

Beliau berkata kerajaan Sarawak telah memberikan anggaran RM63 bilion untuk melaksanakan PCDS 2030 di bawah RMK-12 di mana, RM30 bilion akan datang dari perbelanjaan pembangunan langsung dan RM33 bilion dari dana alternatif. 

"Melalui pemodelan kewangan kreatif dan rekayasa semula pendapatan ini, Sarawak akan terus menikmati kedudukan fiskal yang sihat," katanya.

Abang Johari berkata selain itu PCDS 2030 juga merangkumi masyarakat inklusif yang bermaksud semua rakyat Sarawak akan mempunyai peluang yang sama untuk terlibat dalam pembangunan keseluruhan negeri dan menikmati pengagihan kekayaan secara adil melalui peluang pekerjaan dan perniagaan.

Beliau berkata di bawah PCDS 2030 yang dilancarkan itu terdapat enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu Pembuatan, Pertanian Komersial, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan dan Perkhidmatan Sosial.

Jelasnya, enam sektor berkenaan akan disokong tujuh pemboleh ubah iaitu Transformasi Digital, Inovasi, Infrastruktur Asas, Pengangkutan, Utiliti, Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pendidikan serta Pembangunan Modal Insan.

"Pembangunan enam sektor ekonomi yang disokong oleh tujuh pemboleh ubah ini akan meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan ini akan meningkatkan nilai dan kualiti pelaburan di Sarawak," katanya.

Menurutnya di bawah PCDS 2030 antara objektif terasnya adalah termasuk untuk mengubah struktur ekonomi, untuk memodenkan dan meningkatkan kecekapan, untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada KDNK dan untuk meletakkan kelestarian alam sekitar dalam usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

"Sejajar dengan teras strategi PCDS 2030, perbelanjaan modal awam akan dilaksanakan di kawasan yang memberikan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang paling banyak. 

"Fokus kami adalah untuk membangunkan pemboleh ubah seperti infrastruktur asas iaitu jalan dan jambatan, bekalan air dan elektrik terawat dan rangkaian telekomunikasi.

"Ini akan memberi asas kepada kita untuk melonjak ke tahap kedua pengembangan PCDS 2030, yang didorong bakat, kemahiran dan inovasi," katanya sambil memberitahu pelan yang dirancang akan memakmurkan negeri serta melindungi persekitaran untuk pembangunan lestari.

Abang Johari berkata namun semua itu tidak dapat dilakukan kerajaan sahaja kerana ia memerlukan peranan semua rakyat Sarawak.

Katanya kerajaan boleh menetapkan polisi tetapi tenaga untuk membawa perubahan adalah datang daripada semua pihak termasuk pemimpin dalam perniagaan, yang menghasilkan perkhidmatan dengan cara lebih berdaya saing serta lestari.
 

  • oleh
  • Advertisement