Anda di sini

PPN3.0: MEDAC lanjut kemudahan moratorium, bantu koperasi terjejas

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melanjutkan tempoh moratorium selama tiga bulan lagi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) 3.0. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata tambahan tempoh moratorium ini dibuat bagi membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas. 

Kemudahan ini katanya adalah tambahan kepada kemudahan moratorium Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang ditawarkan selama tiga bulan sebelum ini bermula Jun hingga Ogos 2021 di bawah inisiatif PEMERKASA Plus. 

“Kemudahan moratorium PPN 3.0 ini ditawarkan kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM). 

“Walau bagaimanapun, koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan bagi aktiviti kredit, kelulusan moratorium PPN 3.0 ini tertakluk kepada koperasi yang menawarkan kemudahan moratorium kepada anggota-anggota koperasi,” katanya dalam kenyataan. 

Tambah Wan Junaidi, sebanyak 127 buah koperasi dengan 255 akaun pembiayaan di bawah TMPSKM yang telah diluluskan moratorium PKP 3.0 sebelum ini akan diberikan lanjutan tambahan secara automatik di bawah PPN 3.0 selama tiga bulan lagi.  

Dengan lanjutan kemudahan moratorium ini, kutipan bayaran balik bagi pembiayaan TMPSKM katanya hanya akan dibuat mulai bulan Disember 2021. 

Tawaran penangguhan pembiayaan selama enam bulan ini juga dibuka kepada permohonan pembiayaan TMPSKM baharu yang dikemukakan sehingga 31 Julai 2021 dengan kutipan bayaran balik hanya akan bermula pada Januari 2022. 

Proses permohonan baharu bagi kemudahan moratorium PPN 3.0 telah dipermudahkan di mana koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan permohonan rasmi daripada koperasi, Penyata Terimaan dan Bayaran serta penyata bank bagi tempoh tiga bulan secara atas talian. 

Walau bagaimanapun tawaran moratorium ini adalah berbentuk ‘volantorally’ di mana, impak penangguhan pada masa kini akan menyebabkan perlanjutan dalam tempoh pinjaman. 

Koperasi juga perlu bersetuju untuk pemanjangan tempoh pinjaman berikutan permohonan moratorium. 

MEDAC dalam pada itu menjangkakan kemudahan moratorium tambahan tiga bulan di bawah PPN 3.0 ini akan memanfaatkan 1,053 koperasi dengan anggaran penangguhan pembiayaan berjumlah RM92.4 juta.

  • oleh
  • Advertisement