Anda di sini

Polis cari waris mangsa kemalangan tanpa identiti

Advertisement
 

MIRI: Polis kini sedang mengesan ahli keluarga seorang lelaki tanpa identiti diri yang ditemui mati oleh orang awam di atas jalan raya di Kilometer 127 Jalan Miri-Bintulu berdekatan ladang kelapa sawit dekat sini awal pagi pada Selasa lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata sekiranya ada sesiapa kehilangan ahli keluarga atau sesiapa yang ada menyaksikan kejadian kemalangan terbabit, bolehlah menghubungi Balai Polis Trafik Miri di talian 085-430479. 

"Ciri-ciri mangsa ketika ditemui ialah seorang lelaki, memakai pakaian baju hitam dan seluar paras lutut hitam merah, ketinggian lebih kurang 165 hingga 170 sentimeter, rambut pendek berwarna hitam dan umur dianggarkan dalam 30 hingga 40an. 

"Mangsa dipercayai telah dilanggar lari oleh kenderaan yang tidak pasti dan mungkin dilanggar pada waktu malam atau awal pagi hari mangsa dijumpai," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini pada Khamis. 

Alexson berkata dalam kejadian Selasa lalu, mangsa ditemui sekitar jam 5.15 pagi oleh pekerja pengendali projek Lebuhraya Pan Borneo yang membuat rondaan rutin di sekitar kawasan tersebut. 

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Klinik Kesihatan Suai pada jam 7.21 pagi. 

"Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tidak ada sebarang kad pengenalan diri dan terdapat kesan calar pada bahagian belakang," ujarnya. 

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Miri bagi tindakan selanjutnya. 

Kes ini masih dalam siasatan dan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

  • oleh
  • Advertisement