Anda di sini

PATI 'bawa' Varian Delta ke Sibu

Advertisement
 

SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Johnathan Ringgit (gambar) mengesahkan pendatang tanpa izin warga Indonesia yang disahkan positif COVID-19 Varian Delta melibatkan seorang wanita berumur 29 tahun.

Stanley berkata, wanita terbabit kini ditahan di Hospital Sibu sejak 7 Julai 2021 selepas diuji positif wabak maut berkenaan menerusi ujian PCR pada hari yang sama 

"Hasil siasatan didapati dia memasuki Sarawak dari Indonesia pada 5 Julai 2021.

"Seorang lagi PATI yang merupakan kontak rapat wanita berkenaan adalah seorang lelaki berumur 22 tahun.

"Lelaki terbabit bagaimanapun disahkan negatif COVID-19 selepas dua kali melakukan ujian saringan dan kini masih di pusat kuarantin di sebuah hotel di sini," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Dalam kenyataan sama, Stanley turut memberitahu dua warga tempatan yang merupakan kontak rapat kepada PATI terbabit juga adalah lelaki.

Ujar beliau, hasil ujian saringan COVID-19 terhadap kedua-dua mereka, bagaimanapun negatif dan kini ditahan di pusat kuarantin untuk 21 hari. 

Menurut Stanley, kedua-dua PATI berkenaan disyaki masuk ke Sarawak menggunakan laluan tikus dari Pontianak sebelum datang ke Sibu menaiki lori.

Katanya, kedua-dua PATI akan ditahan bersabit siasatan bawah Seksyen 55E/6(1) Akta Imigresen, 1959/63 sebaik sahaja dibenarkan keluar dari pusat kuarantin kelak.
 

Advertisement