Anda di sini

Malam puisi getaran jiwa angkat tahap kesenimanan P. Ramlee

Advertisement
 Poster Malam Puisi Getaran Jiwa P. Ramlee
POSTER: Poster Malam Puisi Getaran Jiwa P. Ramlee

KUALA LUMPUR: Malam Puisi Getaran Jiwa P. Ramlee bakal mengangkat tahap kesenimanan Tan Sri P. Ramlee sebagai pemuisi legenda negara melalui dialog dalam filem dan bait lirik yang digarap dalam lagu ciptaannya.

Malam puisi dianjurkan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) akan berlangsung 25 Julai depan.

Presiden PEMUISI Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata walaupun bukan semua lirik berjumlah lebih 400 lagu yang dicipta dan dinyanyikannya ditulis oleh beliau, kesemua lagu itu berjaya mengangkat lirik-lirik tersebut ke tahap yang lebih tinggi sehingga mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita boleh katakan bahawa P. Ramlee adalah tokoh yang memulakan tradisi penciptaan lagu puisi hasil karya penulis lirik terkenal seperti Datuk Jamil Sulong, H.M. Rohaizad, S. Sudarmaji dan Ainol Jamal.  

“Malah lagu pertama ciptaannya, Azizah iaitu  lirik asal adalah tulisannya sendiri mengandungi bait kata-kata yang sungguh puitis walaupun hanya memuji seorang wanita,” katanya.

Radzuan berkata Malam Puisi Getaran Jiwa P. Ramlee ini diharap akan menjadi jenama baru PEMUISI dan dijayakan setiap tahun selepas ini.

Tambahnya perkara ini adalah bagi meluaskan hasil seni dan karya P. Ramlee agar terus dinikmati sebagai aset dan khazanah negara yang bernilai tinggi.

“Acara ini turut dijayakan oleh Penaung PEMUISI Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Salleh, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan.

“Turut serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Sri Prof Dr. Awang Sariyan, Naib Canselor ke-8 Universiti Malaya Prof Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob, Presiden FDAM Dr. Ahmad Ibrahim dan cucu seniman agung itu, Najua P. Ramlee.

“Acara ini akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook DBP, PEMUISI BERKARYA dan FDAM mulai pukul 9.00 malam dan dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Dr. Noor Zari Hamat,” katanya.

Advertisement